Perang mulut antara pemimpin Umno-DAP makin rancak.
Dalam satu kenyataan terbaru, Ahli Majlis Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi secara terbuka menyerang Lim Kit Siang, dan anaknya, Lim Guan Eng yang dianggap tunggak DAP selama ini.
Sambil menyelar mereka kerana mempertikai perhimpunan solidariti untuk bekas perdana menteri Najib Razak, pada Isnin ini, Puad menafikan Umno dan PAS sedang bekerjasama.
“Umno dan PAS rancang berasingan. Tetapi sudah pasti Umno mengalu-alukan sokongan PAS.
“Tetapi kenapa keluarga Lim fobia terhadap Najib? Najib dalam penjara. Aura Najib nampaknya menghantui mereka sekeluarga terutama kepada Guan Eng yang masih bebas.
“Kit Siang yang kononnya sudah bersara muncul di sebelah Guan Eng. Dia fikir, bila Najib dipenjarakan bolehlah dia bersara dengan aman,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Puad, mereka belum boleh tidur lena kerana bertanggungjawab mengheret Najib ke mahkamah yang kemudian memenjarakannya.
Katanya, pemimpin DAP itu mulai sedari bahwa mereka akan terancam jika Najib dibebaskan.
“Nama Kit Siang disebut dalam memoir Tommy Thomas. Kononnya perlantikan Tommy sebagai peguam negara atas pengaruh Kit Siang terhadap (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad ketika itu.
“Tommy adalah peguam negara yang mendakwa Najib dan keluarganya. Perdana Menteri, Anwar Ibrahim (pernah) kata pertuduhan itu racun, dendam dan tergesa gesa,” katanya.
Anwar sebelum ini pernah menyifatkan beberapa pendakwaan berprofil tinggi pada 2018 dilakukan secara “tergesa-gesa” dan dicemari oleh “racun dan permusuhan.”
Semalam, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi turut menasihatkan Guan Eng supaya tidak menyinggung mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan hari ini.
Sambil mengingatkan Lim, bahawa zamannya sebagai setiausaha agung DAP sudah berlalu, Zahid berkata, ahli Parlimen Bagan itu seharusnya memberi kepercayaan kepada pimpinan baru parti berkenaan.
Guan Eng sebelum ini memberi amaran bahawa kerjasama antara Umno dan PAS dalam perhimpunan solidariti untuk Najib boleh menimbulkan keraguan terhadap kedudukan Umno dalam kerajaan.
Katanya, tindakan itu bukan sahaja memberi kesan kepada kestabilan politik, malah turut menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keikhlasan Umno dalam membentuk kerajaan pada 2022 atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Umno dan PAS sebelum ini bersetuju mengadakan perhimpunan setiakawan untuk Najib pada 6 Januari di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.
Perhimpunan itu berlangsung serentak dengan pendengaran mengenai titah tambahan diraja yang berkemungkinan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Perhimpunan setiakawan Umno-PAS ini juga mencatat sejarah sebagai kerjasama pertama antara kedua-dua parti sejak Muafakat Nasional berakhir pada 2022.
Najib sebelum ini disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd (SRC).
Ekoran itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta.
Bagaimanapun Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada Februari tahun lalu bersetuju memberi pengurangan hukuman penjara dan denda yang dikenakan.