Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa syukur atas pencapaian ekonomi negara yang mencatat pertumbuhan memberangsangkan setakat ini, hasil usaha bersama pasukan kepimpinan dan penjawat awam di semua peringkat.
Beliau berkata kejayaan ini mencerminkan ketekunan dan pengorbanan semua pihak, daripada pengurusan tertinggi hingga petugas di lapangan.
“Kita mesti iktiraf jasa semua, termasuk mereka di sempadan, di perbatasan dan juga petugas tidak beruniform. Inilah kejayaan bersama, bukan hanya milik satu pihak,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Berdasarkan prestasi memberangsangkan pada 2024, ahli ekonomi dilaporkan menjangka ekonomi Malaysia akan terus berkembang positif pada 2025, dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) diunjur mencecah sehingga 6.0 peratus.
Perdana menteri baru-baru ini berkata KDNK Malaysia berada di landasan yang betul untuk berkembang antara 4.8 peratus dan 5.3 peratus, didorong oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah.
KDNK Malaysia meningkat 4.2 peratus, 5.9 peratus dan 5.3 peratus masing-masing pada suku pertama, kedua dan ketiga 2024, menjadikan pertumbuhan bagi sembilan bulan pertama tahun lepas sebanyak 5.2 peratus, meningkat daripada 3.8 peratus dalam tempoh yang sama pada 2023.
Angka bagi suku keempat dan keseluruhan 2024 dijadual diumumkan pada 14 Feb nanti.
Anwar seterusnya menekankan kepentingan mengurangkan jurang pendapatan dalam kalangan penjawat awam, dengan menyifatkan perubahan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebagai langkah penting ke arah keadilan ekonomi.
“Kenaikan signifikan bagi mereka di peringkat bawah mencerminkan keadilan yang sebenar. Peratusan kenaikan tidak selalu menunjukkan impak sebenar, tetapi lonjakan pendapatan ini adalah lebih adil,” katanya.
Beliau menambah bahawa pendekatan itu turut diperluaskan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pelaburan (GLIC), sambil menggesa syarikat swasta yang meraih keuntungan besar untuk memberikan gaji lebih setimpal kepada pekerja.
“Kerangka Malaysia Madani menekankan keadilan sejagat, kejayaan negara diukur bukan hanya dari segi ekonomi tetapi juga aspek akhlak, moral, dan pengurusan yang baik.
“Perkhidmatan awam kita mesti menjadi model komuniti yang beretika, berakhlak, dan bertanggungjawab. Kejayaan negara ini tidak boleh hanya bergantung kepada budaya selesa tetapi memerlukan usaha berterusan untuk melonjakkan kekuatan kita sebagai sebuah negara besar,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menyeru agar perkhidmatan awam memikirkan pendekatan reformasi menyeluruh dalam usaha meningkatkan kecekapan dan keberkesanan khidmat kepada rakyat.
“Apakah perlu kita kumpul, kita bincang bersama, kita nilai prestasi masing-masing, kita beri pengiktirafan, kita berikan idea baharu. Itu kita fikirkan bersama,” kata beliau.
Anwar turut mengumumkan bahawa kerajaan akan memulakan sesi permukiman Jemaah Menteri dalam beberapa minggu akan datang, dengan tumpuan bagi membaiki kelemahan dan meningkatkan tahap kesungguhan dalam pentadbiran.
Semua pejabat kerajaan, sekolah dan institusi katanya, perlu memulakan perbincangan mendalam setiap bulan bagi mencari kaedah meningkatkan keupayaan dan membaiki kelemahan dalam perkhidmatan awam.
“Pada 10 minit awal terangkan kejayaan, 50 minit berikutnya cara untuk kita tingkatkan keupayaan, membaiki kelemahan-kelemahan yang ada, dan memberikan khidmat serta prestasi terbaik kepada rakyat.
“Apabila saya maksudkan rakyat, jangan lupa bahawa masih ada yang terpinggir, masih ada yang miskin, masih ada yang tersisih. Dan percayalah, ia tidak harus memberikan keselesaan dan ketenangan kepada kita selagi ada warga yang tersisih,” kata beliau.
Anwar turut menyatakan kebimbangannya terhadap perbincangan isu kaum dan agama yang sempit, justeru menyeru penjawat awam agar memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Orang yang menjaga wilayah atau negeri, tidak kira siapa yang perintah, kaum mana yang tersisih. Tanggungjawab kita ialah menghargai setiap warga sebagai tanggungjawab kita, dan warna kulit tidak mempengaruhi kita.
“Kalau dia (rakyat) masuk kategori miskin tegar, dia harus ditangani. Kalau perlu diberikan pengiktirafan, berikan pengiktirafan,” kata beliau yang turut menegaskan bahawa prinsip perlembagaan termasuk kedudukan bahasa, agama, serta hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera, kekal menjadi asas kepada dasar negara.
- Bernama