Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
1

PAS kini sedang bermain politik berbahaya "Squid Game", sebuah rancangan besar politik untuk menghapuskan musuh politik bagi mendapatkan kuasa dengan apa cara sekalipun biarpun menggugat Perlembagaan Persekutuan, mata pencarian ekonomi rakyat dan perpaduan negara. 

Rancangan ini ditonjolkan dengan perhimpunan solidariti mereka bersama Umno pada 6 Januari ini bagi membela bekas perdana menteri Najib Razak, yang dipenjarakan berhubung skandal tersohor 1MDB.

Malah Bersatu, sekutu kuat PAS dalam Perikatan Nasional (PN), menyatakan kekecewaan terhadap mereka kerana menghadiri perhimpunan solidariti untuk Najib dengan Umno. 

PAS juga tidak terlepas daripada menghapuskan Bersatu, sekutu politik mereka, apabila apa keperluan untuk berbuat demikian.

Daripada awalnya menuntut Najib ditangkap dan didakwa berhubung skandal RM52 bilion 1MDB pada 2018 hingga kini–membuat pusingan U tanpa mengambil kira proses undang-undang dalam perlembagaan–PAS menonjolkan ketidakjujuran dalam prinsip dan tidak bertanggungjawab dalam taktik mereka. 


Baca: DAP peserta ‘Squid Game’ yang bakal tersingkir?


Atas sebab ini, jemputan ketua penerangan PAS yang juga anggota parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari kepada saya untuk menghadiri perhimpunan solidariti untuk Najib pada 6 Januari ini adalah satu langkah politik yang tidak masuk akal, tidak berprinsip, membelakangkan proses kedaulatan undang-undang perlembagaan, hipokrit dan oportunis.

Saya menolak pelawaan PAS kepada saya untuk menghadiri perhimpunan 6 Januari tatkala PAS mengadakan perhimpunan bantahan hari ini untuk membuli dua menteri DAP Nga Kor Ming dan Hannah Yeoh atas dakwaan palsu bahawa umat Islam berasa terancam dengan sambutan Krismas yang diadakan Nga dan juga kepercayaan agama sebagai seorang Kristian yang dipegang Hannah. 

Pemimpin DAP berdiri dalam solidariti dan menyokong kedua-dua Nga dan Hannah atas percubaan berbahaya oleh PAS menggunakan kenyataan mengelirukan untuk mencetuskan sentimen agama dan menimbulkan ketidakharmonian yang bercanggah dengan hak asasi kebebasan beragama yang termaktub dalam perlembagaan.

Saya juga tidak akan menyertai perhimpunan ini apabila Jabatan Peguam Negara sendiri telah menggariskan secara terperinci proses wajar perlembagaan yang mesti dipatuhi dalam pemberian pengampunan untuk menyempurnakan pelaksanaan kuasa mengikut budi bicara mutlak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. 

Sebagai mantan menteri kewangan juga, menjadi saksi kerugian kewangan yang besar yang dialami oleh negara akibat daripada skandal kewangan 1MDB yang bernilai RM52 bilion.

Ahmad Fadhli Shaari harus berhenti daripada berpura-pura.

Tiada siapa yang akan melupakan percubaannya untuk membuli calon wanita kita bagi PRK Kuala Kubu, Pang Sock Tao, dengan mempersoalkan keputusannya untuk SPM hanya kerana dia berasal dari sekolah Cina. 

Apabila Pang mendedahkan keputusan SPM sebagai pelajar yang memperoleh semua A, Ahmad Fadhli hanya menikus dan sehingga hari ini tidak berani mendedahkan keputusan SPM dirinya sendiri. 

Pang kemudiannya berjaya memenangi pilihan raya kecil itu dengan meyakinkan apabila memperoleh majoriti yang lebih besar dari segi peratusan.


LIM GUAN ENG ialah pengerusi DAP merangkap anggota parlimen Bagan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS