RHB Investment Bank Bhd (RHBIB) mengunjurkan jualan hartanah meningkat sebanyak 10 peratus tahun ke tahun pada 2025.
Bank pelaburan itu turut menjangkakan beberapa pemaju menumpukan pelancaran produk bertingkat tinggi dalam kategori sederhana untuk menjimatkan simpanan tanah dan menangani kemungkinan isu kemampuan pemilikan.
Menerusi nota penyelidikan Kemas Kini Sektor, RHBIB menjelaskan sebaliknya, sebilangan pemaju akan meneruskan strategi sedia ada masing-masing, dengan tawaran tambahan bagi produk komersial dan perindustrian.
Iskandar Malaysia juga akan terus meraih perhatian dan dijangka mencatatkan lebih banyak pelancaran projek pada 2025, tambah RHBIB.
“Kami yakin permintaan keseluruhan untuk hartanah pada 2025 akan kekal memberangsangkan, disokong oleh pertumbuhan ekonomi dan pelaburan langsung asing (FDI) yang menggalakkan.
“Meskipun pasaran menyaksikan permintaan kukuh pada 2024, kami berpendapat pembelian asing dalam jumlah yang besar masih belum dicatatkan, kerana harga produk yang dilancarkan oleh pemaju dalam tempoh satu hingga dua tahun kebelakangan ini kebanyakannya di bawah paras RM1 juta,” menurutnya.
Bank pelaburan itu turut mengekalkan saranan “overweight” bagi sektor hartanah,
RHBIB berpandangan kalangan pemaju yang membina asas aset, mempunyai pengurusan modal dan strategi penjanaan kewangan yang kukuh.
Kalangan pemaju itu sewajarnya memperoleh premium penilaian yang lebih tinggi, memandangkan kualiti pendapatan mereka yang lebih positif pada masa hadapan, jelasnya.
Menurutnya pemangkin lain yang berpotensi untuk sektor hartanah meliputi projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR) dan Zon Kewangan Khas Pulau Pinang (SFZ).
Pada 2024, lebih banyak pemaju beralih kepada pelaburan berkaitan pusat data, transaksi tanah, dan pembangunan untuk perindustrian.
- Bernama