SPRM berharap siasatan berhubung skandal rasuah yang membabitkan beberapa pemimpin negeri Sabah dapat diselesaikan sebelum akhir Januari, kata ketua pesuruhjayanya, Azam Baki.
Bercakap kepada Malaysiakini, katanya, penyiasat SPRM dalam kes itu telah diarahkan untuk melengkapkan dan menyerahkan hasil siasatan mereka "secepat mungkin".
“Beri kami sedikit masa. Kami sedang berusaha untuk menyelesaikan siasatan secepat mungkin.
“Tetapi saya beri jaminan, menjelang akhir Januari, kami akan selesaikan siasatan. Ia tidak akan lebih daripada itu,” kata Azam.
Ketua pesuruhjaya badan antirasuah itu berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai siasatannya terhadap dakwaan rasuah melibatkan anggota Dewan Undangan Negeri Sabah, termasuk beberapa pemimpin dalam pentadbiran negeri.
Ini susulan beberapa siri pendedahan oleh seorang ahli perniagaan merangkap pemberi maklumat, yang berkongsi dengan Malaysiakini klip video dan paparan skrin mesej WhatsApp yang didakwa menunjukkan ahli politik tertentu membincangkan rasuah sebagai sokongan mendapatkan lesen mencari gali perlombongan.
Pemberi maklumat tiada bukti
Bagaimanapun, menurut Azam, pemberi maklumat itu tidak memberikan sebarang bukti yang didakwa milikinya kepada SPRM walaupun telah beberapa kali bertemu penyiasat semasa memberikan keterangan.
Sebaliknya, katanya, pemberi maklumat terus meminta imuniti daripada pendakwaan.
Ini, kata ketua pesuruhjaya itu, menyukarkan penyiasat untuk mengesahkan dakwaan tersebut.
“Dalam siasatan, kami perlu membuktikan kesahihan (bukti). Kita tidak boleh bergantung pada apa yang disebarkan di media sosial dan seumpamanya (platform lain).
“Sebab forensik (pakar) kita perlu menganalisis video kerana itu adalah keperluan mahkamah.
“Memandangkan dia enggan memberikan kami video itu, pastinya ini menyukarkan siasatan. Tetapi dia tidak mahu berkongsi dengan kami, apa yang boleh saya buat?” soalnya.
Bulan lalu, pemberi maklumat itu mendedahkan tujuh video yang membabitkan beberapa ahli parlimen Sabah yang kononnya membincangkan rasuah sebagai sokongan kepada permohonan pemberi maklumat tersebut untuk mendapatkan lesen.
Ini selepas empat video lain perbincangan yang dikatakan telah didedahkan pada November.
Disember lalu, pemberi maklumat itu juga mendedahkan beberapa siri paparan skrin yang didakwanya sebagai perbualan WhatsApp antara dirinya dengan beberapa wakil rakyat Sabah untuk membuktikan bahawa wang yang disalurkan bukan derma politik.