Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenaikan gaji, AKPS antara pencapaian reformasi perkhidmatan awam
Diterbitkan:  Jan 3, 2025 10:25 AM
Dikemaskini: 2:25 AM

Kenaikan gaji penjawat awam menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), penubuhan Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan pelancaran Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) antara beberapa pencapaian awal yang dikecapi menerusi agenda reformasi perkhidmatan awam hingga kini.

Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar berkata kejayaan reformasi agenda perkhidmatan yang lain termasuklah Deklarasi Kuala Lumpur – Tekad Bersama Perkhidmatan Awam pada 24 Nov tahun lepas.

Ia menyaksikan buat julung kalinya semua pentadbiran kerajaan negeri menandatangani dan mengisytiharkan komitmen untuk melaksanakan reformasi perkhidmatan awam di seluruh negara.

“Kita juga melaksanakan nyanyian lagu Negaraku dan ikrar Rukun Negara bermula 20 Sept 2024 bagi meningkatkan patriotisme dan taat setia penjawat awam, selain pelaksanaan penilaian demerit performance evaluation (DEEP) kepada pegawai pengawal sebagai penilaian lebih adil dan berobjektif, bermula bulan ini,” katanya.

Shamsul Azri berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini. Turut hadir Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Shamsul Azri berkata kerajaan juga melaksanakan reformasi kerenah birokrasi (RKB) dan uji kaji peraturan melalui pekeliling pada 24 Nov 2024.

“Setakat 17 Dis 2024, sebanyak 47 projek telah siap antara lain melibatkan usaha mempercepat proses kelulusan permohonan - yang mengambil tempoh berbulan-bulan - kepada hanya beberapa hari, selain meningkatkan penubuhan unit integriti di pihak berkuasa tempatan daripada 49 kepada 102, iaitu peningkatan sebanyak 35 peratus,” katanya.

Menyentuh mengenai pencapaian pimpinan kerajaan Madani, Shamsul Azri berkata ia meliputi pelaburan ekonomi digital yang diluluskan bernilai RM254.7 bilion bagi tempoh Jan hingga Sept lalu, selain berjaya mewujudkan 159,000 peluang pekerjaan.

Di bawah kepimpinan Anwar, katanya, Malaysia terus mencatatkan pencapaian ekonomi yang memberangsangkan dengan beberapa syarikat teknologi gergasi antarabangsa telah melabur besar di negara ini.

Antaranya, Microsoft sebanyak RM10.5 bilion, NVIDIA dan YTL RM20 bilion, serta Oracle RM27 bilion.

Selain itu, ringgit mencatatkan prestasi terbaik di rantau Asia, sementara Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) merekodkan pendapatan bersih yang melonjak 34 kali ganda, mencapai RM9.7 bilion.

Kadar inflasi pula, tambah Shamsul Azri, kekal terkawal pada 1.9 peratus hingga Ogos 2024 manakala Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengisytiharkan dividen 5.75 peratus yang merupakan angka tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Shamsul Azri turut menzahirkan komitmen beliau dalam mendukung aspirasi perkhidmatan awam dan matlamat yang telah diarahkan menerusi pelbagai mekanisme dan saluran yang telah tersedia.

“Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi atau STAR yang dipengerusikan oleh saya dan dianggotai oleh semua ketua setiausaha dan ketua perkhidmatan dan dibantu oleh ketua pegawai reformasi (CRO) di setiap kementerian akan memastikan segala perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian, termasuklah follow up dan follow through akan dibuat dengan sebaik mungkin,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS