Polis mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian seorang lelaki menganggu jemaah di sebuah masjid di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur seperti yang tular di media sosial.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Polis Daerah Brickfields Ku Mashariman Ku Mahmood berkata kejadian itu berlaku pada jam 5.40 pagi, 1 Januari lalu.
Menurutnya, pengadu memaklumkan individu berkenaan telah merosakkan satu peti televisyen dan satu kerusi di masjid berkenaan.
"Suspek dimaklumkan mengalami masalah mental sejak April 2022 dan rawatan terakhir pada 16 Januari 2023 di PPUM dan tiada rawatan susulan diterima semenjak daripada tarikh tersebut.
"Bertindak atas maklumat, pihak polis telah berjaya mengesan suspek untuk siasatan lanjut," katanya.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara satu hingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, tular video berdurasi 2 minit dan 46 saat di media sosial bersama kapsyen yang mendakwa kejadian itu sebagai "provokasi" terhadap umat Islam.
Video itu memaparkan seorang lelaki bercakap-cakap di dalam masjid berkenaan tetapi percakapannya tidak dapat difahami.
Dia kemudian dilihat melutut di atas sejadah menyebabkan ahli jemaah berang dan menjerit "Bawa dia keluar!".
Keadaan menjadi tegang apabila beberapa jemaah cuba mengasari dan mengheret individu itu keluar daripada masjid.
Pergelutan juga berlaku ketika pengawal keselamatan mahu menahan individu berkenaan, sebelum suspek ditahan oleh anggota polis.