Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa pihak polis membuat serbuan terhadap sebuah sekolah berasrama penuh yang tidak dinamakan dan menyiasat mereka yang terlibat dalam kes buli dan penderaan di sekolah berkenaan.
"Nak tunggu ada yang mati lagi ke baru nak bertindak," katanya menerusi hantaran di laman X.
Dalam hantaran tersebut Syed Saddiq memaparkan laporan akhbar Sinar Harian hari ini mengenai kes penderaan membabitkan seorang pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh ala tentera di Kuala Lumpur.
Pelajar dalam laporan itu mendakwa dipaksa merendam kaki dalam air panas menggelegak sehingga kakinya melecur.
"Di sekolah tentera, dididik cara nak dera dan buli. Masuk universiti tentera, naik pangkat, terus nak dididik cara nak “bunuh”.
"Di sekolah diajar buli rendam kaki dalam air mendidih. Di universiti, naik pangkat, terus nak seterika badan anak orang.
"Saya desak PDRM buat serbuan dan siasat semua yang terlibat," tegas Syed Saddiq.
Insiden dera menggunakan seterika itu merujuk kepada kes membabitkan seorang kadet UPNM yang tampil pada Oktober tahun lalu mendakwa dia dibuli dan ditekap dengan seterika.
Sementara itu laporan berasingan daripada akhbar sama menyiarkan dakwaan ibu bekas pelajar, yang mendakwa semua pelajar di sekolah berkenaan dianggap sebagai beg tinju.
Syed Saddiq menyifatkan kes penderaan berkenaan sebagai tidak berperikemanusiaan dan menjengkelkan.
"Ini Maktab Dera Diraja, Bukan Maktab Tentera Diraja," katanya.
Laporan akhbar lain juga mendakwa mereka yang ingin dinaikkan pangkat perlu dilatih sebagai pembuli terlebih dahulu.