Majlis makan malam penghargaan bagi menghormati veteran DAP, Lim Kit Siang mengheret isu politik yang membabitkan anaknya, pengerusi parti Lim Guan Eng.
Majlis makan malam itu dijadualkan berlangsung di Dewan Sekolah Tinggi Han Chiang, Pulau Pinang, pada 15 Februari, sebulan sebelum pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.
Ia dianjurkan oleh Jawatankuasa DAP Negeri Pulau Pinang untuk menghormati dan berterima kasih kepada Kit Siang atas sumbangannya kepada parti, negeri dan negara.
Bagaimanapun, akhbar-akhbar berbahasa Cina melaporkan bahawa spekulasi bertebaran bahawa majlis makan malam itu merupakan acara "pemanas" dan "membina momentum" untuk pemilihan CEC.
Setiausaha DAP Negeri, Lim Hui Ying, yang juga merupakan anak perempuan Kit Siang, telah menafikan dakwaan tersebut.
"Sudah tentu tidak. Majlis makan malam kesyukuran ini tiada kaitan dengan pemilihan CEC pada Mac.
“Tolong jangan salah faham," katanya, seperti yang dilaporkan China Press.
Sin Chew Daily juga melaporkan semalam bahawa Hui Ying berkata majlis makan malam itu dirancang oleh jawatankuasa negeri sebelum ini apabila Kit Siang menerima anugerah Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) pada Julai lalu.
Anugerah DUPN membawa gelaran “Datuk Seri Utama”. Kit Siang juga memiliki gelaran Tan Sri yang diterimanya daripada Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.
Hui Ying menjelaskan bahawa disebabkan isu tempat, majlis makan malam itu ditangguhkan sehingga sekarang.
Katanya majlis makan malam itu juga akan meraikan hari jadi Kit Siang, iaitu pada 20 Februari.
Sementara itu, ketika ditanya oleh pemberita di Butterworth semalam, Guan Eng berkata dia bukan penganjur majlis makan malam itu.
"Saya bukan penganjur acara ini. Ia tiada kaitan dengan saya.
“Kamu perlu tanya jawatankuasa negeri mengenai perkara ini," katanya, menurut China Press.
Sabotaj?
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Batu Lancang Ong Ah Teong mengecam “individu berniat jahat” kerana berbohong dan mensabotaj Guan Eng.
Menurut Kwong Wah Daily, Ong berkata khabar angin itu adalah “tidak berasas” dan “fitnah jahat” terhadap Guan Eng.
"Guan Eng bukan anggota jawatankuasa DAP Pulau Pinang. Sebarang urusan melibatkan DAP negeri, termasuk majlis makan malam hari jadi atau kesyukuran, bukanlah keputusan yang boleh dibuatnya.
"Tuduhan ini jelas bertujuan untuk terus mencemarkan reputasi Guan Eng dengan mereka-reka dakwaan yang tidak berasas.
“Pihak media dipersilakan untuk bertanyakan butiran lanjut kepada pengerusi DAP negeri, Steven Sim. Mengapa tuduh terus kepada Guan Eng, yang bukan sebahagian daripada jawatankuasa negeri? Majlis makan malam itu bukan dianjurkan oleh Guan Eng mahupun bertujuan untuk mengatur strategi bagi pemilihan parti Mac,” kata Ong.
Sim, yang juga menteri sumber manusia, dipilih sebagai ketua DAP negeri pada 22 September tahun lalu.
Susulan pemilihan DAP negeri, beberapa pihak dalam parti dilaporkan percaya bahawa Sim telah beralih daripada pengaruh Guan Eng, melemahkan pengaruhnya di negeri utara itu.
Beberapa akhbar berbahasa Cina malah membuat spekulasi bahawa puak Guan Eng telah kalah hampir menyeluruh dalam pemilihan parti ini.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menolak tanggapan sedemikian, dengan mengatakan pengaruh dan sokongan Guan Eng dalam DAP Pulau Pinang tidak dapat dinafikan.