Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor menawarkan ganjaran RM10,000 bagi sesiapa yang memberi maklumat mengenai individu bertanggungjawab atas kematian kucing jalanan di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.
NGO kebajikan haiwan itu berkata, ganjaran itu ditawarkan bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan pemberi maklumat tampil ke hadapan serta mencegah insiden seumpama ini pada masa hadapan.
“Kekejaman ini bukan sahaja menyayat hati tetapi merupakan tindakan jenayah serius di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 Malaysia.
“Kami mendesak sesiapa yang mempunyai maklumat yang boleh dipercayai untuk tampil ke hadapan. Bersama-sama, kita boleh memastikan keadilan bagi haiwan-haiwan yang tidak bersalah ini serta mencegah tragedi lain pada masa hadapan,” kata Pengerusi SPCA Selangor, Christine Chin.
SPCA Selangor akan mengadakan sidang media pada Selasa jam 11 pagi di ibu pejabatnya di Ampang, Selangor, berkenaan kes ini dan ganjaran yang ditawarkan.
Maklumat boleh disalurkan kepada SPCA Selangor melalui talian 011-51189716 atau e-mel [email protected].
Terdahulu, polis berkata rakaman CCTV mendapati kematian beberapa ekor kucing di kampus tersebut disebabkan oleh serangan sekumpulan anjing liar.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan kucing-kucing tersebut mati akibat kecederaan semasa serangan itu.
Namun, Persatuan Haiwan Jalanan Malaysia (SAFM) membantah dapatan berkenaan, dengan mendakwa kecederaan pada kucing-kucing tersebut lebih konsisten dengan penggunaan objek tajam, yang menunjukkan kemungkinan penglibatan manusia.
Sementara itu, SPCA Selangor menggesa siasatan menyeluruh dijalankan mengenai punca kecederaan kucing jalanan tersebut.
“Tidak kira sama ada kecederaan itu disebabkan oleh tindakan manusia atau interaksi dengan haiwan jalanan lain, adalah penting untuk menentukan fakta dan melaksanakan langkah-langkah untuk mencegah kejadian serupa pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
SPCA Selangor turut bekerjasama dengan pihak pengurusan UM dan NGO lain untuk menyiasat kes ini.
Selain itu SPCA turut mencadangkan agar warga universiti berkenaan menubuhkan kelab kebajikan haiwan untuk meningkatkan kesedaran mengenai Akta Kebajikan Haiwan.