Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menahan 80 pendatang tanpa izin dalam operasi khas, Op Sapu, sempena Tahun Baharu di kompleks beli-belah di Seri Kembangan, dekat Seri Kembangan semalam.
Pengarah Imigresen Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata kesemua lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun itu terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar, Filipina, Thailand, Yaman, India, Indonesia dan Nigeria.
Beliau berkata mereka yang ditahan disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 antaranya tidak memiliki pas atau permit sah serta tinggal melebihi tempoh masa dibenarkan.
“Seramai 180 warga asing telah diperiksa dalam operasi yang bermula pada 6 petang. Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasa bagi tujuan saringan dan dokumentasi.
“Operasi ini dilakukan selepas risikan selama tiga bulan susulan aduan orang ramai yang bimbang dengan kebanjiran warga asing di kawasan perumahan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairrul Aminus berkata operasi itu melibatkan 22 pegawai dan anggota JIM Selangor yang diketuai oleh Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor Johari Supardi.
Sementara itu, Wan Mohammed Saupee berkata sebanyak 1,520 operasi telah dijalankan oleh pasukannya sepanjang tahun 2024 di sekitar ibu negara.
“Dari 1 Jan hingga 31 Dis 2024, kita telah memeriksa seramai 8,656 individu termasuk warga tempatan dan 3,007 pendatang tanpa izin telah ditahan dengan ada antaranya telah dihantar pulang dan ada yang masih berada di depot tahanan.
“Tangkapan dijalankan turut membabitkan 171 majikan yang melindungi atau menggajikan warga asing. Kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B akta sama,” katanya.
- Bernama