Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis langgar undang-undang denda remaja ketuk ketampi - Madpet
Diterbitkan:  Jan 2, 2025 5:42 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

NGO Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet) mengkritik tindakan pihak polis mendenda sekumpulan remaja dengan ketuk ketampi.

Bukan sahaja hukuman itu menyeksakan dan menjatuhkan maruah, malah polis juga melanggar undang-undang dengan meminta remaja itu berbuat demikian, kata Charles Hector dari Madpet dalam satu kenyataan hari ini.

Dia menggesa Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Mohd Zamzuri Mohd Isa disiasat dan didakwa di mahkamah atas jenayah terhadap kanak-kanak.

“Tugas polis dan penguatkuasaan undang-undang hanyalah untuk menangkap dan menyiasat, dan bukan menghukum pelanggar undang-undang dengan sebarang bentuk penyeksaan atau layanan atau hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau merendahkan maruah.

“Teguran lisan dan/atau nasihat mungkin boleh diterima, tetapi pastinya tiada bentuk layanan yang merendahkan maruah.

"Bolehkah hukuman atau layanan sedemikian dikenakan ke atas kanak-kanak oleh penguatkuasa undang-undang, tanpa pengetahuan dan/atau persetujuan ibu bapa?" katanya.

Terdahulu, Bernama melaporkan Zamzuri sebagai berkata, 21 remaja berusia 14 hingga 17 tahun itu dikesan melakukan kesalahan menunggang basikal yang tidak mempunyai brek, loceng, lampu dan menunggang secara bersaing serta membahayakan.

Mereka ditahan di sekatan jalan raya di Jalan Sultan Azlan Shah di Kuala Lumpur semalam dan dikenakan denda ketuk ketampi.

Menurut Zamhuri, tindakan boleh diambil ke atas mereka di bawah peruntukan dalam Kaedah-Kaedah Lalulintas (Kaedah 42) LN 165/59 – sekatan ke atas penunggang basikal selain tindakan sita juga boleh diambil di bawah Seksyen 112 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagaimanapun, katanya, seorang pegawai kanan JSPT bersama seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan dengan memberi amaran dan advokasi kepada kumpulan remaja terbabit dengan memberi denda ketuk ketampi secara sukarela.

Sementara itu, Charles mempersoalkan apakah ibu bapa kanak-kanak terbabit dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Dia turut menggesa Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan memasukkan peruntukan yang melindungi hak rakyat Malaysia daripada hukuman yang tidak mengikut undang-undang.

“Madpet juga meminta ketuk ketampi disifatkan sebagai hukuman dera, dan tidak boleh digunakan sebagai satu bentuk hukuman ke atas kanak-kanak di mana-mana dan oleh sesiapa sahaja,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS