Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ribuan ahli MIC dikerah turun himpunan bela Bossku
Diterbitkan:  Jan 2, 2025 3:56 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata "ribuan ahli parti" akan menyertai perhimpunan Umno sebagai tanda solidariti terhadap bekas perdana menteri Najib Razak pada 6 Januari ini.

Saravanan berkata himpunan itu melangkaui politik kepartian dan perkauman demi menuntut keadilan untuk Najib berkenaan titah addendum yang membolehkan bekas perdana menteri menjalani tahanan di rumah.

"Tiada agenda politik. Perhimpunan aman oleh ribuan rakyat Malaysia pada 6 Jan ini bagi menunjukkan solidariti kepada Najib,” katanya pada satu kenyataan.

Umno mengesahkan menganjurkan perhimpunan setiakawan Najib pada hari tersebut, sempena perbicaraan kes di Mahkamah Rayuan mengenai titah adendum yang didakwa itu.

Timbalan Presiden MIC M Saravanan.

Sebelum ini, anak Najib, Mohd Nizar memfailkan afidavit yang mendakwa Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Pahang dan mantan Yang di-Pertuan Agong, memberitahunya mengenai kewujudan titah addendum kepada keputusan Lembaga Pengampunan.

Susulan keputusan Umno, PAS juga menggesa ahli-ahlinya untuk menyertai perhimpunan tersebut melalui memo dalaman yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan.

Sementara itu, Presiden Parti Progresif Rakyat (MyPPP), Loga Bala Mohan turut mengesahkan ahli-ahli partinya akan menyertai perhimpunan itu.

“Kami menjangkakan kira-kira 500 ahli akan turut serta,” katanya kepada Malaysiakini.

Loga Bala membidas kritikan terhadap perhimpunan itu, menggesa semua pihak menghormati undang-undang negara, termasuk proses mahkamah dan kuasa raja untuk memberi pengampunan.

“Dia (Najib) mempunyai hak untuk membuat permohonan (kepada mahkamah dan raja).

"Kenapa perlu ada pihak yang memperbesar-besarkan perkara yang telah disediakan oleh undang-undang,” soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS