Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menegaskan alasan parti itu tampil bersetiakawan bersama Umno dalam perhimpunan menuntut keadilan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak di Putrajaya pada 6 Januari depan.
"PAS hanya ingin menegakkan keadilan untuk Datuk Seri Najib Razak kerana beliau layak untuk diberikan haknya jika wujud sungguh titah addendum.
"Sesiapapun yang layak untuk mendapat hak dalam perlembagaan, akan PAS pertahankan," katanya pada kenyataan hari ini.
Fadhli menempelak nasihat Ahli Majlis Tertinggi Umno Nur Jazlan Mohamed supaya ahli partinya tidak terpedaya dengan sokongan tiba-tiba PAS terhadap perhimpunan solidariti sempena perbicaraan kes titah adendum di Mahkamah Rayuan itu.
"Pemimpin PAS sering cakap macam mereka ni wakil syurga. Tapi bagi saya, PAS bukan ‘malaikat politik’ tapi lebih kepada ‘jin politik’ sebab mereka pandai manipulasi agama demi kepentingan sendiri.
"Fatwa politik mereka berubah ikut selera," kata Nur Jazlan.
Fadhli menyifatkan kenyataan itu timbul kerana penilaian Nur Jazlan seperti "sedang berada dalam gelap malam, meraba-raba mencari cahaya, tertengok jauh lampu suluh sudah pun silau matanya."
Duit PAS dalam kocek ahli
"Boleh jadi orang yang membuat penilaian itu ialah orang yang sering berada dalam lubuk yang tidak baik, maka dia melihat orang yang baik seperti malaikat," katanya.
Sementara itu, Fadhli menjelaskan PAS parti manusia dan tidak pernah mendakwa ia 'parti malaikat'.
"PAS bukan jin, apatah lagi bukan toyol. Toyol walaupun hanya makhluk khurafat, tetapi sesetengah orang percaya, toyol hanya bertindak apabila diarah oleh tuannya.
"Diarah tuan untuk mencuri, mencurilah ia. Diarah tuan untuk diam, diamlah dia," sindirnya.
Tanpa menamakan Nur Jazlan, ketua Penerangan PAS itu berkata "sesetengah pemimpin perangainya seperti toyol."
Mengulas tuduhan Nur Jazlan (gambar atas) bahawa PAS kini mungkin mencari sumber dana baru dengan menyokong Najib, Ahmad Fadhli menjelaskan PAS tidak mempunyai masalah kewangan yang besar.
"Jadi Nur Jazlan jangan bimbang. PAS memang 'tiada pitih', tapi PAS tidak akan merompak harta negara untuk mencari 'pitih'.
"Duit PAS ada dalam kocek ahli-ahlinya. Jangan pula menjadi toyol untuk mencuri duit PAS," katanya lagi.
Pada 29 Disember, PAS berkata parti itu akan bersetiakawan bersama Umno demi Najib pada 6 Januari untuk mengadakan perhimpunan di Putrajaya.
Perhimpunan itu bertepatan dengan pendengaran kes mengenai titah addendum yang didakwa boleh membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.