Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengumumkan dalam masa terdekat syarikat atau pihak yang diberikan lesen untuk melaksanakan fungsi pemeriksaan berkala kenderaan bermotor.
Menterinya Anthony Loke berkata setakat ini, lebih 10 syarikat telah memohon lesen berkenaan. Ini, susulan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan pemberian konsesi kepada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sebagai entiti tunggal dalam penyediaan perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor di negara ini.
Walaupun perjanjian konsesi kerajaan dengan pihak Puspakom telah tamat pada 31 Ogos lepas, katanya syarikat itu masih boleh terus beroperasi kerana mereka sudah mendapat lesen pengendali.

"Apa bezanya ialah mereka tak boleh lagi monopoli sebab dulu diberikan konsesi hanya Puspakom boleh buat pemeriksaan kenderaan, jadi apabila konsesi itu tamat, kita buka untuk permohonan lesen (kepada syarikat lain).
"Jadi ada syarikat-syarikat baharu yang telah memohon lesen dan kita telah proses. Dalam masa terdekat, lesen akan dikeluarkan dan saya akan buat pengumuman berkaitan lesen baharu kepada pengendali baharu.
"Pengendali baharu ini apabila mendapat lesen, mereka juga perlukan masa untuk membina fasiliti, jadi kita harap mungkin dalam hujung tahun ini kita lihat ada operator baharu dalam pasaran supaya memberikan persaingan dan pilihan kepada pengguna," katanya.
Dia berkata demikian kepada wartawan selepas merasmikan Pejabat JPJ Putrajaya di Putrajaya hari ini.
Pada Mac tahun lalu, Loke mengumumkan keputusan kabinet untuk menamatkan monopoli Puspakom selama 30 tahun ke atas perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermotor secara berkala bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Puspakom adalah satu-satunya syarikat pemeriksaan kenderaan nasional yang komprehensif di negara ini dan telah dilantik pada 1994 untuk menjalankan semua pemeriksaan mandatori untuk kenderaan komersial dan persendirian.
Menurut Loke, sebab untuk membuka industri itu adalah disebabkan tempoh menunggu yang lama kerana hanya terdapat 56 pusat Puspakom di seluruh negara.
Pada sidang media hari ini, Loke berkata lesen akan diberikan kepada syarikat yang layak tidak lama lagi kerana kementeriannya masih memproses permohonan itu.
Bagaimanapun, syarikat-syarikat ini masih memerlukan masa untuk menubuhkan atau membina kemudahan mereka, jelasnya.
“Tapi kita memang ada rancangan (tetapi) bukannya secara lambak. Kalau kita tahu kalau kita secara lambak, pusat pusat ini tidak boleh bertahan.
“Kita tengok tempat-tempat yang sibuk kita benarkan lebih daripada satu,” katanya.
Sementara itu, Loke juga memaklumkan bahawa MOT akan bekerjasama dengan SPRM berhubung siasatan terhadap kenderaan tidak mematuhi standard yang diluluskan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Dia berkata selain isu integriti, sisatan juga akan dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya wujud sindiket menawarkan perkhidmatan tidak sah seperti meluluskan kenderaan tidak patuh standard ditetapkan JPJ.
"Kita sedang menyediakan laporan pemeriksaan siasatan itu dan memang kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas bersama-sama dengan SPRM.
"Memang kita tahu bahawa dalam pasaran ramai yang cakap ada runner (penghantar), ada kartel dan sebagainya supaya mereka (kenderaan) yang tak lulus pun boleh diluluskan, jadi kes ini memang akan kita teruskan siasatan," katanya.
Loke berkata setakat ini tiga petugas Puspakom telah dirakam keterangan berkaitan kes berkenaan dan tidak menolak kemungkinan ada individu lain dipanggil sekiranya terdapat keperluan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang turut hadir berkata pihaknya menjangkakan JPJ akan menyerahkan laporan teknikal berhubung siasatan kes itu dalam tempoh dua minggu.
"Kita nak JPJ siasat dulu. Bila telah lengkap siasatan, saya mahu semua laporan teknikal itu diserahkan kepada SPRM.
“Daripada laporan itu kita akan meneliti dan mungkin ada sudut yang boleh kita siasat di bawah Akta SPRM atau Kanun Keseksaan," katanya.