Persatuan Baikpulih TV dan Elektronik (Petik) menyuarakan kebimbangan serius mengenai isu tular di platform TikTok, melibatkan sebuah premis pembaikan barangan elektrik yang dikatakan dimiliki dan dikendalikan oleh warga asing dari Bangladesh.
Pengerusi Petik, Dr Muhammad Khairol Hafizan Che Harun berkata premis tersebut hanya salah satu dari banyak premis lain yang dikesan beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan kawasan lain.
"Benda ini bahaya sebenarnya kalau warga asing ini membaiki tidak ikut standard yang betul.
“Dari segi keselamatan, dari segi ketahanan barang, produk benda itu boleh menyebabkan pintar dan sebagainya boleh menjadikan punca kebakaran dan boleh membahayakan kepada pengguna barang elektronik,” katanya kepada Malaysiakini.
Muhammad Khairol mendakwa hingga kini tiada tindakan diambil terhadap premis tersebut, yang masih beroperasi seperti biasa.
Dia menyoal bagaimana premis-premis ini mendapat kelulusan menjalankan kerja-kerja pembaikan memandangkan warga asing sepatutnya tidak dibenarkan berniaga.
Muhammad Khairol berkata keahlian Petik menetapkan syarat pekerja berkelayakan sahaja yang boleh membaiki barang elektronik.
Sebagai wakil bagi 300 ahli persatuan, dia menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan dan menutup premis yang tidak memenuhi standard keselamatan.
Dia juga mencadangkan agar pihak berkuasa yang berkenaan memperkenalkan sistem pelesenan yang ketat untuk premis membaiki barangan elektronik.
“Ini supaya kita dapat melahirkan servis membaiki yang ada kualiti, ada ketahanan dan selamat,” katanya.