Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Demo PAS Jumaat ini cuba manipulasi agama - AMK
Diterbitkan:  Jan 2, 2025 1:36 PM
Dikemaskini: 7:28 AM

Pemuda PKR (AMK) mendakwa perhimpunan PAS di Kuala Lumpur, Jumaat ini cuba memanipulasi isu agama demi kepentingan politik sempit. 

“Himpunan ini juga dilihat akan membangkitkan budaya ketakutan dan memainkan sentimen agama dengan cara yang boleh memecahbelahkan masyarakat,” kata ketua biro agamanya Ashraf Hadi.

Ashraf Hadi

Timbalan Ketua Pemuda PAS Mohd Hafez Sabri minggu lepas mengumumkan perhimpunan di Masjid Jamek Kampung Baru kerana “terancam” terhadap isu berkaitan dua menteri DAP–Hannah Yeoh dan Nga Kor Ming.

Isu berkaitan biografi Hannah Becoming Hannah muncul semula selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah terhadap bekas ketua polis negara Musa Hassan empat tahun lepas.

Hannah mendakwa Musa menuduhnya menulis buku untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian serta mempunyai hubungan dengan pendakwah Evangelis dan Yahudi untuk merosakkan Islam.

Nga pula terpalit dengan kontroversi ekoran sambutan Krismas di kementeriannya serta melibatkan kakitangan beragama Islam.

Dalam kenyataan hari ini, Ashraf berkata naratif penganjuran demonstrasi itu bukan sahaja gagal menyelesaikan isu sebenar, sebaliknya mencemarkan imej Islam sebagai agama yang membawa rahmat kepada semua. 

Katanya, pada waktu ini, perjuangan Islam seharusnya lebih tertumpu kepada meningkatkan taraf hidup, membaiki sistem pendidikan, memacu pembangunan ekonomi dan menyatukan masyarakat. 

“Akhir sekali, AMK menyeru semua pihak untuk menolak sebarang usaha manipulasi agama demi kepentingan politik yang sempit,” katanya.

“Sebaliknya, marilah kita memberi fokus kepada isu-isu yang membawa kebaikan bersama dan memperkukuh keharmonian masyarakat serta keadilan kepada semua, tanpa meminggirkan mana-mana pihak.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS