Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Tabayun' dulu, pesan timbalan menteri agama pada Hadi
Diterbitkan:  Jan 2, 2025 12:40 PM
Dikemaskini: 4:40 AM

Timbalan menteri agama Senator Zulkifli Hasan menggesa Presiden PAS Abdul Hadi Awang “bertabayun” (menyiasat) terlebih dahulu sebelum menyerang perdana menteri tidak hadir acara lapan negara Islam di Kaherah, bulan lalu.

Zulkifli berkata Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Mohamad Hasan tidak ke Sidang Kemuncak ke-11 Kumpulan Lapan Negara Membangun (D8) kerana mengutamakan tugasan rasmi.

Pada 18 dan 19 Dis, kata Zulkifli, kerajaan menerima kunjungan hormat pertama Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedow.

“Justeru, amalan bertabayun penting untuk memastikan setiap maklumat yang diterima dan disebarkan adalah benar dan tidak memudaratkan. 

“Ia adalah sebahagian tuntutan Islam untuk menjaga kebenaran, keadilan, dan keharmonian dalam masyarakat,” katanya.

Zulkifli juga berkata selain bertabayun, Islam juga mengajar umatnya tidak bersangka buruk, mengadu domba dan menyebar fitnah. 

“Kita sebagai umat Islam perlu sedar bahawa menyebarkan fitnah adalah berdosa besar dan menjerumuskan diri ke lembah kehinaan,” katanya.

Abdul Hadi kelmarin menganggap ketiadaan Anwar di Sidang Kemuncak D8 bukti konsep Madani yang dibawa perdana menteri dan kerajaan tidak tulen.

"Ketidakhadiran perdana menteri Malaysia kini yang membawa slogan Madani menunjukkan perjuangannya bukan Madani Islam yang sebenar bersempena bandar Madinah yang dinamakan oleh Rasulullah SAW.

"Akan tetapi, perjuangannya bergantung kepada Madani jahiliah seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan BlackRock," dakwanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata dalam kunjungan Berdimuhamedow, kedua-dua negara bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk kepengerusian Asean-Malaysia 2025.

Dia menegaskan, antara Januari hingga Oktober lalu, jumlah dagangan Malaysia dengan Turkmenistan meningkat dengan ketara sebanyak 74.8 peratus kepada RM63.28 juta, berbanding RM36.19 juta untuk tempoh sama tahun lalu.

Katanya, pada tahun 2023, Turkmenistan adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah, dengan jumlah dagangan bernilai RM48.62 juta.

Tolak label jahiliah

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Zulkifli juga menolak kecaman Hadi bahawa yang mengaitkan konsep Madani yang menjadi gagasan pentadbiran Anwar dengan jahiliah sebagai salah.

Katanya, ia berasaskan konsep Madinah Rasulullah yang menyatupadukan warganya daripada pelbagai suku kaum melalui Piagam Madinah.

D8 merujuk kepada kerjasama ekonomi dalam kalangan negara membangun melibatkan Bangladesh, Mesir, Iran, Indonesia, Malaysia, Nigeria, Pakistan, dan Turki.

Diasaskan pada 1996, gabungan itu melibatkan 1.27 bilion rakyat atau kira-kira 63 peratus warga Muslim di seluruh dunia.

Sidang Kemuncak D-8 kali ini diadakan di Kaherah, Mesir. Malaysia turut menghantar delegasinya yang diketuai Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir.

Persidangan itu memutuskan membuka keanggotaan kepada negara lain, selain menyokong agar Azerbaijan diterima menjadi negara kesembilan untuk kerjasama berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS