Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mukhriz dapat kebenaran cabar cukai taksiran tambahan RM5 juta

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi kebenaran kepada Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir untuk mencabar cukai taksiran tambahan sebanyak RM5 juta yang didakwanya sebagai tidak sah.

Mukhriz, anak kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, menyifatkan tindakan tersebut sebagai bermotifkan politik, didorong oleh perseteruan lama antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan ayahnya.

Hakim Amarjeet Singh membenarkan permohonan Mukhriz untuk kebenaran memulakan prosiding serta perintah penangguhan sementara terhadap taksiran cukai tersebut.

Katanya, mahakmah mendapati terdapat isu yang boleh dibicarakan.

Penangguhan sementara itu akan kekal berkuat kuasa sehingga perbicaraan pada 16 April, apabila Anwar dan dua responden lain akan diberikan peluang untuk membentangkan hujah mereka.

Responden-responden lain adalah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan kerajaan persekutuan.

Menurut dokumen mahkamah yang difailkan pada 20 Disember tahun lalu, Mukhriz mendakwa bahawa cukai taksiran tambahan bagi tahun 2017 hingga 2019 - yang dikeluarkan pada 2023 - adalah tidak munasabah dan menyalahi undang-undang.

Dakwanya, bahawa tindakan LHDN itu dicemari oleh permusuhan peribadi Anwar terhadap Mahathir.

"Sejak pemecatan responden kedua (Anwar) daripada Umno dan jawatan timbalan perdana menteri, diketahui umum bahawa responden kedua dan Mahathir adalah musuh politik," kata Mukhriz dalam dokumen tersebut.

Mukhriz juga berhujah bahawa persaingan politik antara kedua-dua tokoh ini berterusan walaupun selepas kerjasama singkat mereka dalam pentadbiran Pakatan Harapan dari 2018 hingga 2020. Dia turut mendakwa bahawa permusuhan Anwar diperburukkan oleh saman fitnah yang difailkan oleh Mahathir terhadap perdana menteri itu.

Mukhriz menegaskan bahawa saman fitnah Mahathir berkisar kepada dakwaan bahawa kekayaan keluarga bekas perdana menteri itu adalah hasil perbuatan rasuah semasa era pemerintahannya. Dakwaan itu, menurut Mukhriz, menjadi pendorong kepada tindakan cukai yang dikenakan terhadapnya.

Prosiding hari ini dihadiri peguam Nizamuddin Abdul Hamid, mewakili Mukhriz dan Peguam Kanan Persekutuan Wan Shahida Wan Omar, yang bertindak bagi ketiga-tiga responden.

Pada 20 Disember lalu, Mukhriz, 60, selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Menteri Kewangan Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

Dalam permohonan itu, Mukhriz yang juga ahli perniagaan memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama (Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri) mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan bagi tahun 2017 hingga 2019 berjumlah RM5,020,707.18 atas alasan tindakan responden pertama itu menyalahi undang-undang dan tidak munasabah. 

Presiden Pejuang itu juga memohon deklarasi bahawa keputusan responden pertama mengenakan penalti terhadapnya di bawah Seksyen 113 (2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 adalah terbatal dan ultra vires.

Bekas menteri besar Kedah itu juga memohon deklarasi bahawa responden kedua (Anwar) telah menggunakan kuasa secara salah dengan menyebabkan responden pertama mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan berkenaan dan memohon deklarasi responden kedua telah menggunakan kuasa secara salah dengan menyebabkan responden pertama mengeluarkan sijil di bawah Subseksyen 104(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Turut dipohon satu perintah penggantungan terhadap Notis Taksiran Tambahan berkenaan dan penguatkuasaan sijil sehingga pelupusan permohonan semakan kehakiman itu.

Mukhriz memfailkan permohonan itu atas alasan responden pertama telah membuat suatu anggapan yang salah dalam mengambil kira perbelanjaan tanpa penjelasan pemohon sebagai jumlah pendapatan lain-lain beliau.

Dakwa pemohon, responden pertama secara salah dan melulu, mengambil kira pelupusan saham pemohon di OPCOM Holdings Berhad dan penerimaan dividen daripada M Ocean Capital Sdn Bhd sebagai perbelanjaan yang boleh dicukai, sedangkan pelupusan saham pemohon di OPCOM dan penerimaan dividen daripada M Ocean merupakan pendapatan yang tidak boleh dicukai. 

Mukhriz berkata tindakan responden pertama yang mengambil kira pendapatan tidak boleh dicukai sebagai pendapatan boleh dicukai merupakan suatu layanan tidak adil dan tidak sama rata kerana berdasarkan kenyataan responden pertama sendiri, penerimaan dividen daripada saham dan hasil penjualan saham adalah dikira sebagai pendapatan tidak boleh dicukai. 

Menurut Mukhriz, Notis Taksiran Tambahan bagi tahun 2017 dan 2018 telah dikeluarkan lebih daripada lima tahun daripada garis masa pemfailan borang-borang cukai pendapatan bagi tahun berkenaan dan merujuk kepada Seksyen 91 (1) ACP, apa-apa notis taksiran tambahan di bawah seksyen tersebut hanya boleh dikeluarkan selepas lima tahun jika wujudnya situasi di mana seorang pembayar cukai telah melakukan penipuan, kelalaian sengaja atau kecuaian. 

Namun, pemohon berkata responden pertama tidak pernah menyatakan sama ada pemohon telah cuai atau melakukan penipuan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS