Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid ingatkan Lim - Zaman kamu sudah berlalu, jangan siku sahabat
Diterbitkan:  Jan 2, 2025 11:10 AM
Dikemaskini: 4:43 AM
2

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng supaya tidak menyinggung mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan hari ini.

Sambil mengingatkan Lim, bahawa zamannya sebagai setiausaha agung DAP sudah berlalu, Zahid berkata, ahli Parlimen Bagan itu seharusnya memberi kepercayaan kepada pimpinan baru parti berkenaan.

"Saya fikir saya tak perlulah (ulas) kerana itu pendapat peribadi beliau.

"Zaman beliau (Guan Eng) sudah berlalu dan berilah kepercayaan kepada kepemimpinan DAP yang ada sekarang ini, jangan nak menyiku mana-mana sahabat," katanya selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya, hari ini.

Timbalan perdana menteri itu mengulas kenyataan Lim yang memberi amaran bahawa kerjasama antara Umno dan PAS dalam perhimpunan solidariti untuk bekas perdana menteri Najib Razak, pada Isnin ini boleh menimbulkan keraguan terhadap kedudukan Umno dalam kerajaan.

Lim berkata, tindakan itu bukan sahaja memberi kesan kepada kestabilan politik, malah turut menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keikhlasan Umno dalam membentuk kerajaan pada 2022 atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Umno dan PAS sebelum ini bersetuju mengadakan perhimpunan setiakawan untuk Najib pada 6 Januari di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Perhimpunan itu berlangsung serentak dengan pendengaran mengenai titah tambahan diraja yang berkemungkinan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Perhimpunan setiakawan Umno-PAS ini juga mencatat sejarah sebagai kerjasama pertama antara kedua-dua parti sejak Muafakat Nasional berakhir pada 2022.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS