Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP bidas 'fatwa' Hadi dosa sekular lagi besar dari fitnah, bunuh
Diterbitkan:  Jan 2, 2025 10:55 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

Pemimpin kanan DAP membidas Presiden PAS Abdul Hadi Awang, berhubung kenyataannya yang menganggap sekularisme dosa yang lebih besar daripada fitnah dan pembunuhan.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Lee Chin Chen, mendakwa Hadi menggunakan "hujah cacat" untuk membenarkan tindakan Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, yang baru-baru ini kalah dalam saman fitnah yang difailkan oleh tiga pemimpin DAP.

Lee berkata Malaysia telah menjadi negara sekular sejak merdeka dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak-hak semua warganegara bukan Islam.


BACA BERKAITAN:

ULASAN | Dosa sekularisme lebih besar dari fitnah dan membunuh

ULASAN | PAS ingatlah dosa fitnah itu lagi berat dari membunuh

Derma duit ahli PAS yang miskin disindir, kata Hadi


Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Lee Chin Chen.

"Namun, Hadi mengabaikan perlembagaan demi mempertahankan kesalahan ahli partinya.

"Putar belit prinsip-prinsip asas negara ini satu tindakan yang sangat berbahaya.

"DAP tetap komited untuk bertindak mengikut lunas Perlembagaan, yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi manakala mengiktiraf Malaysia sebagai negara pelbagai kaum dan agama.

"Saya ingin menekankan pentingnya rasa hormat-menghormati dan toleransi bersama untuk memelihara warisan kemajmukan budaya negara ini.

"Hadi Awang sudah tentu menyedari prinsip-prinsip ini tetapi memilih untuk menyalahgunakan pengaruhnya dalam Islam untuk mengelirukan penyokongnya.

"Tujuannya kelihatan untuk menimbulkan salah faham terhadap DAP, merosakkan perpaduan kaum dan memajukan agenda politik PAS," katanya.

Semalam, Hadi melalui komentar mengutuk penyebaran sekularisme dan liberalisme di negara ini.

Gambar fail, Abdul Hadi bersama Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang ketika era gabungan politik Pakatan Harapan.

Presiden PAS mendakwa ideologi yang diperkenalkan oleh penjajah kini diteruskan oleh DAP.

Komen Hadi itu muncul ketika PAS dikecam kerana mengutip derma untuk membantu Mastura membayar sejumlah RM750,000 sebagai ganti rugi kepada Lim Kit Siang, Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, yang difitnah oleh Mastura yang mengaitkan mereka dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Sementara itu, seorang lagi anggota CEC merangkap naib pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, menyoal jika kenyataan Hadi satu percubaan menanam kebencian dan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dia juga mencabar pemimpin PAS itu untuk membawa DAP ke mahkamah dan mengisytiharkan ia sebagai haram.

"Sekiranya Haji Hadi kekal dengan dakwa-dakwi melampau, saya sarankan supaya Haji Hadi cabar sahaja DAP mengikut saluran undang-undang agar DAP diharamkan.

"Tetapi malangnya, Haji Hadi tidak berani lakukan demikian selain terus-menerus bermain sentimen semata-mata.

"Bagi saya, niat Haji Hadi tidak lain sekadar untuk kepentingan politik sendiri," kata Sheikh Umar.

Bekas Adun Paloh itu juga mengingatkan Hadi PAS pernah bekerjasama dengan DAP semasa era Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

Sheikh Umar berkata DAP dan semua parti politik berdaftar lain di Malaysia, termasuk PAS, beroperasi di bawah rangka kerja perlembagaan dan undang-undang persekutuan yang sama.

"Sedarkah Haji Hadi sewaktu PAS dan Perikatan Nasional menjadi kerajaan juga, DAP tetap ada sebagai parti politik pembangkang yang sah?

"Mengapa ketika itu tidak ditimbulkan dakwaan seperti yang beliau keluarkan sekarang ini?

"Adakah Haji Hadi senyap ketika itu kerana PAS di tampuk kuasa? Jadi bila PAS dapat kuasa, semuanya ok.

"Ketika PAS tiada kuasa, semua parti yang lain adalah sekular, liberal, warisan penjajah dan komunis," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS