Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA soal TNB: S'pura turun tarif elektrik tapi M'sia naik?
Diterbitkan:  Jan 2, 2025 9:54 AM
Dikemaskini: 1:54 AM

Timbalan Presiden MCA Wee Jeck Seng meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjelaskan dakwaan mereka mengenai kadar tarif elektrik perlu diselaraskan semula bagi mencerminkan kos bahan api yang dijangka lebih tinggi.

Ahli parlimen Tanjung Piai itu berkata cadangan TNB dibuat hanya beberapa hari selepas Singapura mengumumkan akan menurunkan kadar elektrik untuk suku pertama tahun depan berikutan penurunan harga tenaga antarabangsa.

Wee menegaskan kenyataan TNB yang menyebut penyesuaian tarif asas yang dicadangkan di bawah Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) untuk 2025-2027 perlu bagi mencerminkan peningkatan kos bahan api yang dijangka.

Namun, katanya Singapore Power dan City Energy mengeluarkan kenyataan akhbar yang menyatakan kadar elektrik untuk isi rumah akan dikurangkan sebanyak 3.4 peratus pada suku pertama 2025, mencapai paras terendah sejak suku ketiga 2023, disebabkan oleh penurunan harga tenaga antarabangsa.

"Negara-negara ini hanya dipisahkan oleh sebuah jambatan kecil.

“Mengapa TNB berulang kali menekankan harga tenaga antarabangsa yang semakin meningkat untuk membenarkan kenaikan tarif, sedangkan Singapura boleh menurunkan tarif mereka apabila harga menurun," soal Wee pada satu kenyataan hari ini.

TNB, melalui pengumuman kepada Bursa Malaysia pada 26 Disember, mencadangkan untuk melaksanakan jadual tarif baru dengan tarif asas sebanyak 45.62 sen per kilowatt-jam (kWh) untuk Semenanjung Malaysia di bawah RP4 bermula 1 Julai 2025.

Di bawah Tempoh Kawal Selia Ketiga (RP3) sekarang dari 2022 hingga 2024, tarif asas ditetapkan pada 39.95 sen/kWh.

Namun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang mengambil langkah memastikan sebarang kenaikan tarif elektrik tidak membebankan rakyat.

Sehubungan itu, katanya, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof telah diminta segera mendapatkan penjelasan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Anwar berkata, sebarang kenaikan tarif mesti tertumpu kepada golongan atasan atau industri yang mencatatkan keuntungan luar biasa dan bukan kepada majoriti rakyat.

“Walaupun kos meningkat, tidak boleh menjejaskan kedudukan majoriti rakyat. Ini dari segi dasar (kerajaan).

“Saya faham keperluan naik, tapi kenaikan tidak boleh melibatkan kedudukan kos kepada majoriti rakyat,” kata Anwar pada 27 Disember.

“Kami tidak akan membenarkan kenaikan yang boleh membebankan orang ramai.

“Kenaikan ini, seperti yang berlaku sebelum ini, hanya akan membabitkan golongan maha kaya dan industri yang untung besar,” kata Anwar lagi.

Seterusnya, Fadillah menjelaskan tiada keputusan dibuat mengenai kenaikan tarif elektrik dan mengesahkan kementeriannya, bersama Suruhanjaya Tenaga, masih dalam proses memuktamadkan jadual tarif elektrik baru.

Presiden Gerakan Dominic Lau pula mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap TNB jika kenaikan tarif kuasa tahun depan diumumkan tanpa kelulusan kerajaan.

Kebimbangan

Sementara itu, Wee juga menekankan impak besar kenaikan kadar elektrik terhadap rakyat Malaysia dan perniagaan, terutamanya semasa fasa pemulihan ekonomi semasa.

Katanya beban kos tambahan boleh menambahkan tekanan kepada PKS, berpotensi menjejaskan operasi mereka dan pasaran pekerjaan secara keseluruhan.

Selain itu, Wee berkata tarif elektrik yang lebih tinggi akan meningkatkan kos sara hidup bagi isi rumah biasa, memaksa golongan berpendapatan rendah untuk mengurangkan lagi perbelanjaan harian mereka.

“Dalam beberapa hari kebelakangan ini, saya telah mendengar banyak kebimbangan daripada pemilik perniagaan yang risau kenaikan kadar elektrik akan melemahkan daya saing mereka, terutamanya jika dibandingkan dengan pasaran antarabangsa.

“Pada masa sama, banyak keluarga biasa menyatakan kekecewaan mereka kerana mereka sudah bergelut dengan inflasi dan kini terpaksa berdepan dengan beban bil elektrik lebih tinggi. Suara-suara ini perlu diambil serius oleh TNB dan kerajaan,” kata Wee.

Wee menggesa kerajaan untuk menjadikan struktur kos TNB dan mekanisme penyesuaian tarifnya lebih telus, membolehkan orang ramai memahami rasional di sebalik perubahan tersebut dan mengelakkan keraguan lanjut.

“Pihak berkuasa juga harus menilai semula kewajaran unjuran kos bahan api dan mempertimbangkan amalan negara lain untuk memastikan penyesuaian tarif elektrik adil dan munasabah,” tambahnya.

Katanya elektrik tulang belakang pembangunan ekonomi dan menggesa kedua-dua kerajaan dan TNB untuk mencari keseimbangan antara kepentingan korporat dan kesejahteraan awam.

“Penyelesaian tidak seharusnya hanya membebankan tekanan kos kepada pengguna,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS