Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza, telah dibebaskan daripada tahanan reman di lokap polis Sabah dan dihantar kembali ke Semenanjung.
Ditahan pada petang Isnin untuk disiasat berhubung karikatur satiranya terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman, Fahmi berkata dia dipindahkan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu oleh pegawai imigresen.
Difahamkan dia dibebaskan dan dihantar pulang pada petang Selasa, beberapa jam sebelum perintah tahanan remannya tamat.
Dia juga memperli pihak berkuasa dan Pejabat Ketua Menteri Sabah dengan mengucapkan terima kasih kerana memberikan "servis lima bintang" semasa penginapannya selama dua hari satu malam di "Hotel Penampang" polis, yang menurut Fahmi, lebih baik berbanding pengalamannya di lokap polis Dang Wangi.
"Aku baru je check-out dari Hotel Penampang! Percutian aku kat Sabah kali ni memang best gila sebab dapat stay dua hari satu malam free kat bilik TYT Suite yang super comfy.
"Bilik tu size dia 2.5m x 3m, siap ada tandas dengan pintu! (FYI, kat Hotel Dang Wangi tandas dia takde pintu langsung, lol).
"Bilik dia bersih gila, lantai pun cozy, dan paling best, baju tidur dia jenis fabrik ungu yang selesa gila kat kulit – tak panas langsung," kata Fahmi pada hantaran di media sosial malam tadi.
Menurut laporan, aktivis tersebut ditahan polis pada hari Isnin ketika dia pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk memberikan kenyataan berhubung karikaturnya, yang menggambarkan Musa yang memakai tanjak dengan wang kertas RM100 di dalam mulutnya.
Polis kemudiannya memperoleh perintah tahanan reman selama sehari terhadap Fahmi bagi memudahkan siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia untuk penyalahgunaan kemudahan rangkaian dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja menghina untuk menghasut gangguan ketenteraman awam.
Semalam, Ketua Polis Sabah Jauteh Dikun dilapor mengesahkan Fahmi telah dibebaskan dengan jaminan polis dan dihantar ke lapangan terbang Sabah sekitar jam 9.30 malam Selasa.