Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
69 laporan polis dibuat terhadap Nga Kor Ming
Diterbitkan:  Jan 1, 2025 9:47 PM
Dikemaskini: 1:47 PM

Sebanyak 69 laporan polis dibuat terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berhubung sambutan Krismas secara terbuka di premis kementerian berkenaan yang turut melibatkan kakitangan beragama Islam.

Pemuda PAS menerusi halaman Facebook memaklumkan laporan polis turut dibuat oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi lain.

"Pemuda PAS mendesak PDRM menyiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta memastikan premis kerajaan tidak lagi disalahgunakan untuk acara yang melanggar sensitiviti agama.

"Agama Islam wajib dihormati sebagai agama rasmi persekutuan demi keharmonian negara," menurut kenyataan tersebut.

Pemuda PAS mendakwa, Nga telah melanggar garis panduan Muzakarah Fatwa Kebangsaan 2005 dan hukum Irsyad Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Siri Ke-818) termasuk melibatkan simbol dan elemen bertentangan akidah Islam seperti simbol agama lain dan nyanyian bercirikan agama.

Selain itu katanya, acara itu berlangsung di premis kerajaan dan melibatkan kakitangan Islam sehingga mencetuskan keresahan umat Islam dan menjejaskan keharmonian negara.

Pada 26 Disember, Naib Ketua Pemuda PAS, Muhammad Hanif Jamaluddin, mengecam sambutan Krismas di ibu pejabat KPKT di Putrajaya yang turut melibatkan orang Islam.

Muhammad Hanif berkata, sebagai menteri, Nga seharusnya tahu bahawa adalah haram bagi umat Islam untuk mengambil bahagian dalam perayaan agama lain yang bertentangan dengan akidah Islam.

Bagaimanapun Nga berkata kementeriannya mempertahankan nilai perpaduan dalam kepelbagaian sebagai tonggak kekuatan negara ini dan tidak akan tunduk kepada “sikap pelampau dan ekstrem.”

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, sebaliknya mendakwa Nga mengeluarkan kenyataan “pelampau” dan “emosional,” serta mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap menteri tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS