Tindakan melabel pendekatan Madani yang menjadi gagasan negara ini secara negatif amat keterlaluan dan mendukacitakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau dalam kenyataan hari ini berkata kementeriannya turut kesal dengan sikap sesetengah pemimpin politik yang sengaja mencetuskan polemik terhadap konsep dan pendekatan Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
“Konsep Madani telah diterima secara menyeluruh oleh sarjana Islam sebagai bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.
“Konsep Madani juga menekankan pendekatan pembangunan negara yang bersifat syumul (menyeluruh), holistik dan komprehensif dari aspek rohani serta jasmani,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Na’im menasihati umat Islam di negara ini agar berwaspada dengan usaha pihak yang sengaja menimbulkan polemik pemikiran keagamaan bagi meraih kepentingan tertentu.
“Sempena lembaran baharu 2025, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru semua pihak agar memperkukuh perpaduan untuk membangunkan negara demi kepentingan rakyat,” katanya.
Semalam, beberapa portal berita tempatan melaporkan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa perjuangan Perdana Menteri adalah bergantung kepada Madani Jahiliah susulan ketidakhadiran Anwar pada Sidang Kemuncak Negara Anggota Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) di Kaherah, Mesir pada 19 Dis lepas.
Anwar yang ketika itu menerima kunjungan Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedow yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula 18 Dis lepas, telah diwakili Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ke sidang kemuncak kali ke-11 itu.
- Bernama