PAS Pahang menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming menuduh parti itu sebagai sesat dan penunggang agama adalah keterlaluan dan tidak masuk akal.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, kenyataan dibuat Kor Ming itu sangat berbahaya kerana boleh mengundang kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
"Apabila kita mempersoalkan tingkah laku beliau sebagai Menteri KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) mengadakan sambutan Krismas yang turut membabitkan kakitangan beragama Islam, dia buat tuduhan kononnya PAS adalah sesat.
"Ini adalah mengelirukan dan kenyataan dikeluarkan Kor Ming itu sebenarnya sesat dan menyesatkan.
"Kita mempersoalkan tindakan beliau kerana jelas bahawa orang Islam tidak boleh mengambil bahagian dalam sambutan dan meraikan perayaan agama lain, apatah lagi terdapat nyanyian yang menunjukkan 'kebesaran' perayaan mengikut pemahaman agama terbabit," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan, Pahang, hari ini.
Andansura yang juga Adun Beserah menasihatkan Kor Ming menyemak semula Perlembagaan Persekutuan untuk memahami punca PAS menyatakan bantahan susulan penganjuran sambutan Krismas di pejabat KPKT baru-baru ini.
Katanya, belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia yang sudah menghampiri usia 70 tahun merdeka, satu kementerian menganjurkan sambutan perayaan lain, selain Aidilfitri dan Aidiladha.
"Suka untuk saya menasihati Kor Ming atau mana-mana menteri lain yang mempunyai niat untuk menganjurkan sambutan serupa pada masa akan datang, janganlah cuba merosakkan keharmonian negara Malaysia dengan perbuatan sebegini," ujarnya.
Ditanya mengenai jumlah laporan polis dibuat PAS Pahang terhadap Ketua Whip ahli parlimen Dap itu, Andansura berkata, setakat ini sebanyak sembilan laporan sudah dilakukan pihaknya sejak kelmarin.
Jelasnya, pihak polis perlu menjalankan siasatan terhadap Kor Ming supaya insiden seperti itu tidak berulang.
Selasa lalu, Kor Ming menempelak PAS atas sikap hipokrit parti itu berhubung sambutan Hari Krismas di pejabat KPKT di Putrajaya.
Naib Presiden DAP itu dilaporkan menuduh PAS sebagai 'sesat', 'menyebar ajaran sesat', 'menunggang agama', 'merosakkan keharmonian masyarakat' dan 'menyekat sambutan Krismas'.
Ekoran tuduhan berkenaan, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, parti itu memandang serius kenyataan melampau dan penuh emosi oleh menteri berkenaan.
PAS turut menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Kor Ming berhubung apa yang disifatkan sebagai tohmahan dan fitnah terhadap parti itu.