Universiti Malaya (UM) menegaskan tiada arahan supaya pensyarah yang sedang dikenakan tindakan tahan kerja atas dakwaan gangguan seksual untuk hadir ke kampus.
Ini susulan laporan mengenai pensyarah yang terpalit dakwaan menghantar gambar bogelnya kepada pelajar itu masih hadir di kampus di sebalik penggantungan oleh pihak pentadbiran UM.
Dalam kenyataan yang disiarkan hari ini, UM menjelaskan bahawa tiada arahan rasmi daripada pihak fakulti atau jabatan berkaitan yang meminta pensyarah berkenaan hadir ke kampus.
"Tinjauan juga mendapati bahawa tiada petunjuk atau saksi yang dapat mengesahkan perkara ini.
"Pensyarah berkenaan telah dihubungi untuk memastikan beliau tidak hadir ke kampus sepanjang tempoh tahan kerja yang dikeluarkan.
"Universiti Malaya sentiasa memastikan keselamatan semua pihak dalam kampus terutamanya para pelajar," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Komunikasi Korporat UM.
Tindakan tata tertib tahan kerja telah dikenakan terhadap pensyarah tersebut namun butiran lanjut mengenai kes ini tidak didedahkan dalam kenyataan itu.
Pada 31 Disember, seorang pelajar UM menyatakan kebimbangannya apabila pensyarah yang didakwa melakukan gangguan seksual di institusi pengajian tinggi (IPT) itu masih hadir di kampus.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai “Pelajar A” mendakwa pensyarah terbabit telah menghantar bahan eksplisit kepadanya, termasuk gambar dan video bogel, melalui WhatsApp.
“Dia masih muncul di kampus menyebabkan saya meragui keberkesanan penggantungannya.
"Adakah ini cara universiti untuk menutup isu ini?” soalnya.
Tuduhan terhadap ahli akademik itu didedahkan pada 16 Dis lalu apabila Kelab Feminist UM (UMFC) mendakwa IPT berkenaan gagal mengambil tindakan yang sewajarnya walaupun banyak laporan telah dibuat.
Menteri Pengajian Tinggi, Zambry Abdul Kadir kemudiannya mengarahkan UM untuk menyiasat perkara tersebut.
Ekoran arahan itu UM mengumumkan pensyarah terbabit telah digantung tugas.