Isu-isu berkaitan "Islam terancam akan dicanang" oleh pihak tertentu untuk terus meraih sokongan, menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dia merujuk serangan politik terhadap dua menteri lain, Hannah Yeoh dan Nga Kor Ming.
"Kali ini buku Hannah Yeoh dan sambutan perayaan Nga Kor Ming menjadi isu.
"Maka orang lain akan melihat seolah-olah ini Islam, sedangkan ia tidak lain dan tidak bukan taktik lapuk membakar sentimen bila habis modal politik,” kata naib presiden PKR itu pada ciapan di X.
Pada 31 Disember, Pemuda PAS dan Bersatu mengumumkan satu perhimpunan bersama pada hari Jumaat (3 Januari) di Kuala Lumpur, mendakwa terdapat rasa “terancam” dan dengan niat untuk membantah Nga dan Yeoh.
PAS sebelum ini menyasarkan Nga dan Yeoh atas kenyataan yang didakwa mengancam Islam, dengan salah seorang pemimpin parti itu mempertikaikan persembahan nyanyian lagu Krismas di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya.
Pada video yang dimuat naik 24 Disember lalu di akaun Facebook Nga, kakitangan kementerian dilihat menyanyikan lagu “Jingle Bells” – lagu tentang kegembiraan menaiki kereta luncur di salji – dan lagu “We Wish You a Merry Christmas.”
Nga mempertahankan acara tersebut sebagai cerminan hormat-menghormati dan keharmonian dalam kalangan kakitangan kementerian sambil menasihati pemimpin PAS agar bertaubat, berhenti menyebarkan fitnah, atau mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Setakat 2 Disember, sekurang-kurangnya tujuh laporan polis telah dibuat terhadap buku Yeoh berjudul Becoming Hannah yang sudah terbit sejak 2014 lagi.