Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Mulakan tahun baru dengan menanam sayur
Diterbitkan:  Dec 31, 2024 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Rakyat Malaysia dinasihatkan agar memulakan Tahun Baharu 2025 dengan menanam sayur sendiri. Tahun 2025 akan lebih mencabar kepada pengguna dengan peningkatan kos sara hidup termasuk harga makanan.

Untuk mengurangkan beban kenaikan harga sayur, pengguna digesa agar menanam apa sahaja jenis sayur dan herba bermula tahun baharu ini.

Guru boleh memainkan peranan penting dalam mendidik pelajar mereka mengenai pendidikan alam sekitar. Alam sekitar adalah sebahagian daripada kehidupan kita memandangkan ia melibatkan persekitaran di mana kita tinggal. Kini kita sedang berhadapan dengan perubahan iklim, hujan lebat, ribut, banjir, tanah runtuh, dan bencana alam sekitar lain akibat fenomena alam semula jadi dan aktiviti manusia.

Tetapi kebanyakan generasi muda terutamanya para pelajar tidak memahami apa yang sedang berlaku. Sesetengah kanak-kanak, malah orang dewasa menganggapnya sebagai takdir Tuhan. Walau bagaimanapun tindakan manusia seperti penebangan hutan, perbandaran dan infrastruktur yang tidak mencukupi memburukkan lagi kesan bencana alam.

Mendidik kanak-kanak bagaimana untuk menjaga planet ini amat penting. Sesetengah orang mungkin merasakan ia terlalu berat bagi minda yang terlalu muda untuk memprosesnya dan boleh menyebabkan kebimbangan yang tidak sewajarnya dalam kehidupan harian mereka. 

Yang lain pula percaya bahawa kini adalah masanya yang terbaik bagi kanak-kanak untuk mempelajari bagaimana untuk menjaga planet ini disebabkan sifat ingin tahu mereka dan keseronokan dengan aktiviti luar.

Mempelajari mengenai isu alam sekitar, pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar seharusnya menjadi satu keseronokan bagi kanak-kanak. Mereka menikmati aktiviti seperti bermain di bawah daun-daun yang berguguran dan bermain di taman, aktiviti ini menyediakan peluang terbaik untuk mempelajari mengenai proses yang berlaku di bumi ini.

Jika anda tinggal di kawasan bandar, anda boleh memulakan perbualan dengan perkara seperti pencemaran udara dan lapisan ozon. Menjelaskan bagaimana peningkatan dalam pembangunan bandar di seluruh dunia secara langsung menyumbang kepada masalah iklim agar kanak-kanak memahami bagaimana bumi menghadapi masalah ini.

Bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, adalah mudah untuk mendidik kanak-kanak mengenai proses alam semula jadi seperti fotosintesis dan bagaimana haiwan menyumbang kepada kitaran hayat planet ini. Jika kawasan anda mempunyai banyak kebun, anak-anak anda berpeluang untuk mempelajari mengenai kemampanan dan berkebun.

Ajar anak-anak untuk berkebun.

Tanggungjawab menjaga planet 

Jika anda membawa anak-anak anda untuk berada di luar dan bermain dengan tanah, inilah peluang terbaik untuk mengajar mereka mengenai berkebun. Mereka boleh mempelajari manfaat menanam tanaman makanan mereka sendiri. Kita boleh menunjukkan bagaimana semua tumbuhan tumbuh, jadi bukan hanya kanak-kanak tertarik oleh proses menanam tanaman makanan tetapi mereka juga mempelajari tanggungjawab bagi menjaga planet ini.

Jika berkebun adalah sesuatu yang sukar bagi anda disebabkan oleh kekangan masa dan kekurangan ruang, masih terdapat cara bagi kanak-kanak belajar mengenai proses menanam tanaman. Anda boleh mengajar kanak-kanak tugasan mudah yang membolehkan mereka mempelajari bagaimana untuk memulihara sumber semula jadi.

Lebih awal kanak-kanak mempelajari tabiat yang baik, ia lebih cenderung untuk dibawanya dalam kehidupan harian mereka apabila mereka dewasa nanti. Kanak-kanak adalah masa depan bagi planet ini dan oleh sebab itu ia mempunyai kesan yang ketara terhadap nasib bumi ini.

Memupuk minat anak-anak anda dalam alam semula jadi adalah satu permulaan yang amat baik dalam memberikan mereka seberapa banyak maklumat yang boleh mengenai bagaimana cara mereka boleh membantu menyelamatkan planet ini. Tidak ada perkara yang boleh diubah dalam sekelip mata, mendidik anak-anak anda dengan perkara kecil boleh memberikan kesan yang besar di kemudian hari.

Unjuran oleh Pertubuhan  Makanan dan Pertanian (FAO) menunjukkan untuk memberi makan penduduk dunia yang berjumlah 9.1 bilion orang pada 2050 secara keseluruhannya memerlukan peningkatan pengeluaran makanan kira-kira 70 peratus antara 2005/07 dan 2050. Kebanyakan unjuran peningkatan dalam permintaan makanan global dijangka datangnya daripada peningkatan pendapatan pengguna di rantau Asia, Eropah Timur dan Amerika Latin.

Harga sayur di Malaysia telah meningkat dalam beberapa hari lalu dan dijangka akan berterusan. Hujan dan banjir menyebabkan kesukaran kepada petani yang mengalami kerugian. Krisis iklim juga merupakan salah satu penyebab kepada meningkatnya masalah kebuluran di dunia ini.

Ramai petani menghubungi CAP mengadu mengenai masalah harian mereka termasuklah peningkatan harga input pertanian, tidak mampu untuk mendapatkan pekerja dan hujan yang berterusan yang telah memusnahkan tanaman mereka.

Sehubungan itu, kami menggesa pengguna untuk menanam sayur mereka sendiri di rumah, yang boleh menjimatkan kos. Menanam sayur untuk dimakan tidak memerlukan ruang yang banyak. Tanaman seperti bendi, terung, cili dan sayur berdaun seperti sawi, kangkung, kailan, bayam serta tumbuhan saka seperti pudina, pegaga, kesum dan selom amat mudah untuk ditanam malah ia boleh di tanam di balkoni rumah.

Barangan isi rumah yang biasa digunakan seperti karton susu, botol jus dan minuman dan bekas kecil lain boleh digunakan untuk tumbuhan yang mempunyai sistem akar yang kecil seperti sayur berdaun.

Bagi tanaman yang akarnya lebih dalam seperti bendi, terung, cili, barangan seperti tin biskut, tin minyak lima liter dan botol air lima hingga 20 liter boleh digunakan sebagai bekas tanaman.

Dengan cahaya matahari, air, tanah yang subur dan kompos yang sesuai, sesiapa sahaja boleh menanam dan menuai sayur walaupun dalam ruang yang sempit. Dengan kenaikan kos sara hidup, menanam sayur, herba dan buah-buahan sendiri boleh menjimatkan wang bagi perbelanjaan barangan runcit dan anda juga boleh mendidik anak-anak anda mengenai dari mana datangnya makanan mereka.

Mulakan 2025 dengan menanam benih untuk masa depan.


FATHIMA MOHD IDRIS ialah naib presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS