Pemimpin-pemimpin Umno tampil membidas Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang mengecam kerjasama Umno-PAS dalam perhimpunan solidariti untuk Najib Razak, minggu depan.
“Saya nak beritahu pada Lim Guan Eng. Ini himpunan tidak ada kena mengena dengan kerajaan perpaduan. Ini himpunan hanyalah untuk solidariti Najib Razak.
“Ini bukan himpunan seperti himpunan Bersih yang kamu buat sampai huru-hara terbalik kereta,” kata Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh.
Terdahulu Lim memberi amaran bahawa kerjasama Umno-PAS dalam perhimpunan pro-Najib boleh menimbulkan keraguan terhadap kedudukan Umno dalam kerajaan.
Lim berkata, tindakan itu bukan sahaja memberi kesan kepada kestabilan politik, malah turut menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keikhlasan Umno dalam membentuk kerajaan pada 2022 atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Umno dan PAS bersetuju mengadakan perhimpunan setiakawan untuk Najib pada 6 Januari di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.
Perhimpunan itu berlangsung serentak dengan pendengaran mengenai titah tambahan diraja yang berkemungkinan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Perhimpunan setiakawan Umno-PAS ini juga mencatat sejarah sebagai kerjasama pertama antara kedua-dua parti sejak Muafakat Nasional berakhir pada 2022.
Dalam kenyataan di media sosial, Akmal mempersoalkan siapa Lim untuk membidas Umno.
“Kamu siapa nak arahkan Umno?
“Lagi kuat kamu bidas Umno, saya janji lagi ramai orang akan turun berhimpun pada 6 hari bulan ini,” katanya.
Tak pernah bincang dengan PAS - Puad
Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi pula berkata Umno tidak pernah berbincang apa lagi mahu bekerjasama dengan parti PAS menganjur perhimpunan itu.
Katanya, Umno sudah merancang lebih awal sebelum PAS mengarahkan anggotanya berhimpun.
“Oleh itu Lim Guan Eng perlu duduk diam dan jangan sibuk-sibuk. Kamu selesaikan masalah rasuah kamu,” katanya.
Dia juga menolak tanggapan bahawa perhimpunan itu boleh mengancam perpaduan Kerajaan Madani.
Bagaimanapun dia sempat menyindir dengan berkata “menyembunyikan titah adendum itu lagi kuat mengancam masa depan kerajaan perpaduan”.
Sementara itu, Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub pula berkata Lim tidak perlu kepanasan apabila anggota Umno berhimpun minggu depan.
Dia memberi jaminan bahawa penyertaan PAS “tiada kaitan dengan mana-mana agenda politik”.