Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Naikkan gaji pekerja senior bersama gaji minimum - Kesatuan sekerja
Diterbitkan:  Dec 31, 2024 4:47 PM
Dikemaskini: 1:05 PM
1

Sebanyak 17 belas kesatuan sekerja dan dua NGO menggesa kerajaan mereformasi Perintah Gaji Minimum bagi menaikkan gaji pekerja senior apabila gaji minimum dinaikkan.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka mencadangkan kerajaan menambahkan satu bahagian baru “penyelarasan gaji” (wage adjustment) ke dalam Perintah Gaji Minimum yang akan datang.

"Setiap kali gaji minimum dinaikkan, gaji pekerja-pekerja yang lebih tinggi daripada gaji minimum tetapi di bawah had tinggi golongan B40 (RM5,250) harus dinaikkan dengan kadar yang sama dengan kadar kenaikan gaji minimum.

"Contohnya, gaji minimum sedia ada RM1,500 akan dinaikkan RM200 iaitu 13.3 peratus ke RM1,700 pada tahun 2025. Jika bahagian penyelarasan gaji dilaksanakan, golongan pekerja yang bergaji di antara RM1,500 dan RM5,250 juga berhak kepada kenaikan gaji 13.3 peratus. Selepas penyelarasan gaji tersebut, seorang pekerja senior yang bergaji RM1,600 akan menjadi RM1,813," jelas mereka.

Antara kesatuan dan NGO yang menandatangani kenyataan itu ialah Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perusahaan Alat-Alat Pengangkutan dan Sekutu (NUTEAIW), Kesatuan Sekerja Perusahaan Perladangan Sabah (SPIEU), Kesatuan Pekerja-Pekerja Industri Perkayuan Sabah (STIEU), Kesatuan Pekerja Pekerja Hotel, Resort dan Restoran Sabah ( SHRREU), Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) dan Tenaganita.

Gaji lebih kurang sama pekerja baru

Kumpulan itu berkata pelaksanaan gaji minimum langsung tidak memberi impak positif kepada golongan pekerja senior yang merupakan tulang belakang pertumbuhan ekonomi Malaysia

"Majoriti golongan pekerja ini bermula dengan gaji RM500 atau RM600 sebulan pada zaman yang belum ada gaji minimum.

"Selepas berkhidmat untuk sebuah syarikat selama 20 atau 30 tahun, gaji mereka sekarang mungkin adalah RM1,600 sahaja, lebih kurang sama paras pekerja-pekerja baru dengan gaji minimum RM1,500 sekarang,” tambah kumpulan itu.

Menurut mereka, golongan pekerja senior ini amat kecewa kerana tiada penyelarasan gaji selepas pelaksanaan gaji minimum.

"Majikan-majikan enggan menaikkan gaji untuk golongan pekerja senior ini dengan alasan syarikat tidak ada sumber kewangan yang mencukupi. Syarikat hanya boleh melaksanakan gaji minimum kerana ia terpaksa mematuhi Perintah Gaji Minimum yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

"Pada pandangan kami, pembaharuan dasar gaji minimum ini adalah paling “straight forward” untuk membantu pekerja-pekerja senior yang menghadapi masalah gaji terbantut. Langkah ini akan memberi bantuan besar kepada keluarga-keluarga di bawah paras miskin mutlak dan di dalam kategori B40.

"Cadangan ini juga selaras dengan salah satu dasar keutamaan kerangka Madani iaitu "Memperkenalkan undang-undang bagi meletakkan asas kepada kadar upah atau gaji yang bermaruah yang mampu menjamin kelangsungan hidup untuk semua," kata kumpulan berkenaan.

Berikut kenyataan penuh kumpulan berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS