Kami Kesatuan-kesatuan Sekerja Malaysia yang menandatangani di bawah menyeru kerajaan Madani mereformasikan perintah gaji minimum untuk memanfaatkan pekerja-pekerja senior yang telah memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara selama beberapa dekad.
Majoriti golongan pekerja ini bermula dengan gaji RM500 atau RM600 sebulan pada zaman yang belum ada gaji minimum. Selepas berkhidmat untuk sebuah syarikat selama 20 atau 30 tahun, gaji mereka sekarang mungkin adalah RM1,600 sahaja, lebih kurang sama paras pekerja-pekerja baru dengan gaji minimum RM1,500 sekarang.
Golongan pekerja senior ini amat kecewa tiada penyelarasan gaji selepas pelaksanaan gaji minimum. Majikan-majikan enggan menaikkan gaji untuk golongan pekerja senior ini dengan alasan syarikat tidak ada sumber kewangan yang mencukupi. Syarikat hanya boleh melaksanakan gaji minimum kerana ia terpaksa mematuhi perintah gaji minimum yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Pendek kata, pelaksanaan gaji minimum langsung tidak ada impak positif kepada golongan pekerja senior yang merupakan tulang belakang pertumbuhan ekonomi Malaysia. Kelemahan ini harus diatasi dengan mereformasikan dasar gaji minimum dan memberi keadilan kepada golongan pekerja senior, ini selaras dengan matlamat kerajaan Madani iaitu meningkatkan bahagian pendapatan pekerja daripada 32 peratus sehingga 45 peratus pada tahun 2033
Kami mencadangan kerajaan Madani menambahkan satu bahagian baru “penyelarasan gaji” ke dalam perintah gaji minimum yang akan datang. Setiap kali gaji minimum dinaikkan, gaji pekerja-pekerja yang lebih tinggi daripada gaji minimum tetapi bawah had tinggi golongan B40 (RM5,250) harus dinaikkan dengan kadar yang sama dengan kadar kenaikan gaji minimum.
Contohnya, gaji minimum sedia ada RM1,500 akan dinaikkan RM200 iaitu 13.3 peratus ke RM1,700 pada tahun 2025. Jika bahagian penyelarasan gaji dilaksanakan, golongan pekerja yang bergaji di antara RM1,500 dan RM5,250 juga berhak kepada kenaikan gaji 13.3 peratus. Selepas penyelarasan gaji tersebut, seorang pekerja senior yang bergaji RM1,600 akan menjadi RM1,813.
Pada pandangan kami, pembaharuan dasar gaji minimum ini adalah paling straight forward untuk membantu pekerja-pekerja senior yang menghadapi masalah gaji terbantut. Langkah ini akan memberi bantuan besar kepada keluarga-keluarga di bawah paras miskin mutlak dan di dalam kategori B40.
Cadangan ini juga selaras dengan salah satu dasar keutamaan kerangka Madani iaitu "Memperkenalkan undang-undang bagi meletakkan asas kepada kadar upah atau gaji yang bermaruah yang mampu menjamin kelangsungan hidup untuk semua."
Kesatuan-kesatuan yang menandatangani:
1. Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perusahaan Alat-Alat Pengangkutan dan Sekutu (NUTEAIW)
2. Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Utara Semenanjung Malaysia (KSIEWUSM/EIEUNR)
3. Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia (KSIEWSSM/EIEUSR)
4. Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Barat Semenanjung Malaysia (KSIEWBSM/EIEUWR)
5. Kesatuan Sekerja Perusahaan Perladangan Sabah (SPIEU)
6. Kesatuan Pekerja-Pekerja Industri Perkayuan Sabah (STIEU)
7. Kesatuan Pekerja Pekerja Hotel, Resort dan Restoran Sabah ( SHRREU)
8. Kesatuan Jururawat Malaya (MNU)
9. Kesatuan pekerja pekerja perusahaan membuat tekstil dan Pakaian Pulau Pinang dan Seberang perai (PTGWU)
10. Kesatuan Pekerja-Pekerja Pembuatan Kertas dan Produk Kertas (PPPMEU)
11. Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahan Percetakan Semenanjung Malaysia (PIEU)
12. Union of Employees in Trade Unions (UETU)
13. Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM)
14. Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Syarikat-Syarikat Pembuat Keluaran Getah (NUECMRP)
15. Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Telekomunikasi Semenanjung Malaysia (NUTE)
16. Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Logam Malaysia
17. Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkayuan Semenanjung Malaysia (TEUPM)
NGO yang menandatangani :
1. Persatuan Pembela Wanita Pulau Pinang
2. Tenaganita