Pemuda PAS hari ini enggan mengulas serangan terbaru yang dibuat oleh ketua penerangan parti itu terhadap pemimpin DAP yang juga seorang menteri, Nga Kor Ming.
Ditanya mengapa PAS mengaitkan datuk kepada Nga dalam kritikan mereka terhadap ahli politik terbabit, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Mohd Hafez Sabri, memberitahu dia hanya mahu memberi tumpuan kepada isu-isu yang melibatkan umat Islam di negara ini.
“Itu tak ada kaitan dengan sidang media hari ini,” katanya ringkas dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu Mohd Hafez dan beberapa pemimpin Pemuda PAS dan Bersatu mengadakan sidang media bagi mengumumkan rancangan mereka mengadakan himpunan bersama pada Jumaat ini.
Semalam Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, mengorek hantaran di X pada lima tahun lalu dengan membangkitkan kedudukan mendiang datuk Nga yang berjuang semasa Perang Dunia Kedua.
“Melihat kepada bahasa kamu yang agak celupar kebelakangan ini, saya ingin bertanya sekali lagi, di sebelah mana datuk kamu berjuang dahulu ketika Perang Dunia Kedua?
“Sudah tentu ada bukti rekod perkhidmatan dan lain-lain,” katanya di media sosial.
Bagaimanapun, selepas kira-kira lima jam, Fadhli ‘menukar nada’ setelah terdapat pengguna maya mengaitkan datuk Nga dengan Komunis.
“Dalam posting saya tadi, saya hanya bertanya tentang perjuangan datuk kepada menteri yang celupar itu sahaja, tetapi saya sedih apabila ramai yang komen di posting itu mengaitkan dengan perjuangan komunis.
“Saya tidak rasa begitu,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu sinis.
Dalam hantaran pada 16 Ogos 2019 pula, Nga berkongsi gambar pameran berkaitan penglibatan datuknya dan datuk seorang lagi pemimpin DAP Hannah Yeoh sebagai perajurit semasa Perang Dunia Kedua.
Terdahulu PAS mengkritik Nga susulan sambutan Krismas yang melibatkan kakitangan kerajaan beragama Islam atas alasan terdapat larangan terhadap umat Islam menyertai acara agama bukan Islam.
Ia susulan tersebar video memaparkan kakitangan di kementeriannya menyanyikan lagu Jingle Bells – sebuah lagu mengenai keseronokan menaiki kereta luncur di salji – dan lagu We Wish You a Merry Christmas.
Nga bagaimanapun menasihatkan pemimpin PAS bertaubat dan tidak merosakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Katanya, acara itu mencerminkan semangat hormat-menghormati dan keharmonian di antara kakitangan kami, yang menjadi prinsip asas sebuah kerajaan yang baik.
PAS juga mengamcam tindakan undang-undang terhadap Nga yang didakwa menuduh parti itu sesat susulan kontroversi sambutan perayaan Krismas itu.