Rasa "terancam" mendorong Pemuda PAS dan Bersatu menganjurkan himpunan bersama sebagai langkah menyatakan bantahan mereka terhadap beberapa isu yang melanda sekarang.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Mohd Hafez Sabri, berkata mereka akan berhimpun di Masjid Jamek Kampung Baru di tengah Kuala Lumpur pada Jumaat ini.
Bercakap dalam sidang media hari ini, Mohd Hafez berkata, antara isu yang akan diketengahkan oleh sayap parti dua komponen PN berkenaan ialah kenyataan terkait dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; dan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Katanya, buku Becoming Hannah yang ditulis oleh Yeoh - dan mula diterbitkan pada 2014 - mengandungi unsur penyebaran Kristian secara halus, justeru perlu dipandang serius malah wajar ditentang.
Berkenaan Nga pula, Mohd Hafez yang juga Adun Manjoi itu berkata menterii terbabit melakukan ritual sambutan Krismas di pejabat kerajaan.
“Kita sebagai rakyat dan umat Islam, kita rasa terancam atas pengakuan Hannah (Yeoh) kerana melanggari kedaulatan Malaysia sebagai sebagai sebuah negara Islam dan Islam sebagai agama persekutuan.
“Kita (Pemuda PAS dan Bersatu) memohon siasatan menyeluruh dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia, dan mahu Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku tersebut.
"Kita minta perdana menteri pecat Hannah. Dia tak sesuai pimpin Kementerian Belia dan Sukan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur, hari ini.
Hadir sama dalam sidang media itu ialah Exco Pemuda Bersatu, Ad Adib Shaharuddin dan Ahmad Amirullah.
Kata Mohd Hafez, pihakknya menyeru agar polis menjalankan siasatan menyeluruh dan Kementerian Dalam Negeri pula wajar mengharamkan buku tersebut.
“Kita minta perdana menteri pecat Hannah. Dia tak sesuai pimpin Kementerian Belia,” katanya lagi.
Jangka lebih 1,000 hadir
Isu Yeoh menjadi perhatian ekoran kenyataan dibuatnya dalam perbicaraan saman fitnah Ahli Parlimen Segambut itu ke atas bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan.
Antara lain dia mendakwa menjadi “duta tuhan” (ambassador of god) sesuai dengan keyakinannya dalam beragama.
Sejumlah laporan polis sudah dibuat pelbagai pihak ke atas ahli politik terbabit kerana didakwa cuba menyebarkan fahaman Kristian.
Pada masa sama Yeoh menegaskan dia tetap menghormati dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
"Terdapat sekatan undang-undang yang jelas terhadap penyebaran agama selain Islam kepada orang Islam di Malaysia.
"Saya telah mengangkat sumpah jawatan dan bersumpah untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah sumpah yang saya ambil dengan serius dan akan patuhi setiap masa," katanya pada 27 Dis lalu.
Nga pula terpalit dengan kontroversi ekoran sambutan Krismas yang diadakan di pejabatnya.
Mohd Hafez berkata Himpunan Bangkit Ummah yang dirancang itu akan turut disertai beberapa NGO Islam.
Pada masa sama, dia berkata, Pemuda PAS dan Bersatu mengajak parti politik lain - termasuk Umno dan PH - untuk menyertai perhimpunan yang didakwanya bertujuan menyelamatkan martabat Islam itu.
“Kami mengalu-alukan semua entiti tak kira siapa untuk bersama penggerak utama Pemuda PAS dan Pemuda Bersatu.
“Ini bukan soal isu parti politik, ini bukan soal politik, (tetapi) ini isu umat Islam dan semua berhak bersuara memberikan pandangan dan bantahan,” katanya.
Tambah Mohd Hafez, rancangan penganjuran himpunan itu juga telah dimaklumkan kepada pihak polis dan pihaknya menjangkakan lebih 1,000 peserta akan telibat nanti.