Penduduk Orang Asli dari Kampung Kelaik, Kelantan mendakwa mempunyai bukti sebuah syarikat perlombongan bijih besi masih beroperasi, walaupun Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad pada 18 Dis memberi jaminan lombong itu tidak beroperasi.
Selain itu, kementerian yang diterajui Nik Nazmi juga telah mengarahkan penghentian operasi perlombongan di kawasan itu.
Dalam laporan polis yang difailkan oleh ketua Jawatankuasa Tindakan Kampung Kelaik, Ahak Uda semalam, dia berkata penduduk mendapati lombong Redstar Capital masih beroperasi pada 27 Disember – sembilan hari selepas kementerian menyatakan arahan berhenti kerja telah dikeluarkan.
Mereka turut merakam bukti video menunjukkan jentera beroperasi di lombong tersebut.
Dalam perkembangan berkaita, Ahak menyoal jika Nik Nazmi telah diberikan maklumat salah.
"Adakah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan tidak menjalankan pemantauan?
"Bagaimana YB Nik Nazmi Nik Ahmad boleh mengeluarkan kenyataan bahawa Redstar Capital telah menghentikan operasi, sedangkan kami mempunyai bukti video bahawa syarikat tersebut masih beroperasi?
"Adakah JAS Kelantan bersekongkol dengan syarikat perlombongan ini, atau menteri telah menerima maklumat yang salah," katanya pada satu kenyataan kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan perlombongan bijih besi berhampiran Kampung Kelaik dipercayai mencemari sumber air utama komuniti Orang Asli tempatan.
Ujian darah mendedahkan paras kromium, logam berat karsinogenik, yang tinggi dalam darah salah seorang daripada enam penduduk yang menjadi sukarelawan untuk ujian tersebut.
Penduduk yang terjejas, Azlan, 19 tahun – anak kepada Ahak – mempunyai tahap kromium yang meningkatkan risiko kanser seumur hidupnya sebanyak 64,000 kali ganda lebih tinggi daripada orang biasa.
Kritikan terhadap KKM
Dalam kenyataan hari ini, Ahak turut mengkritik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ini berkaitan dakwaan kementerian bahawa sampel air dari sungai yang digunakan oleh Kampung Kelaik bebas pencemaran logam berat.
Namun, penduduk menyatakan sampel diambil dari tandak air yang diselenggara oleh Jakoa dan tidak terletak di hilir kawasan perlombongan.
Selain itu, tandak sering tersumbat, menyebabkan sungai berwarna ‘merah karat’ itu menjadi satu-satunya sumber air mereka.
"Terdapat beberapa kelemahan teknikal dalam kaedah pengambilan sampel air yang tidak diberi perhatian oleh KKM," kata Ahak.
"Kegagalan ini menunjukkan kelemahan KKM dan Jakoa dalam memahami cara hidup serta budaya masyarakat Orang Asli di Kampung Kelaik.
"Sungai adalah nadi kehidupan kami," katanya.
Kata Ahak penduduk kampung ragu-ragu dengan lawatan Kementerian Kesihatan ke Kampung Kelaik pada 15 Januari.
Menurutnya, pegawai kesihatan bercadang mengambil sampel darah dan makanan untuk menguji ketoksikan logam berat.
Penduduk kampung katanya bersetuju dengan pengambilan sampel darah tetapi menentang pengambilan sampel makanan oleh kementerian.
"Kami meragui niat KKM.
"Adakah ini satu usaha untuk mengalihkan perhatian masyarakat Malaysia yang prihatin terhadap isu pencemaran sungai di kampung kami kepada gaya hidup dan pemakanan kami sebagai Orang Asli," soal Ahak.
Tuntutan terhadap Jakoa
Jawatankuasa Tindakan Kampung Kelaik turut mengkritik Jakoa atas dakwaan penduduk kampung tidak pernah mengadu mengenai operasi perlombongan dan pencerobohan tanah adat.
Mereka menyatakan telah menulis surat tentang pencerobohan oleh syarikat perlombongan kepada Jakoa sejak 2012, selain memberitahu pegawai jabatan itu secara lisan semasa lawatan ke kampung berkenaan.
Namun, Ahak berkata kebanyakan dokumen yang dihantar sebelum 2021 telah hilang oleh Jakoa kerana isu teknikal.
Walaupun begitu, penduduk kampung masih menyimpan salinan surat 2017 oleh Jakoa yang menyokong permohonan Aqua Orion untuk memulakan perlombongan berhampiran Kampung Kelaik, yang mana penduduk telah menghantar maklum balas surat bantahan.
"Jakoa adalah seupama ibu dan ayah kepada Orang Asli. Jakoabertanggungjawab menjaga kebajikan, kesihatan dan keselamatan Orang Asli.
"Jakoa tidak boleh mencuci tangan dari tanggungjawab ini dengan pelbagai alasan.
"Kami berani berdepan dengan Ketua Pengarah Jakoa bersama media untuk menjawab alasan bahawa kami tidak pernah membangkitkan isu wilayah adat dan perlombongan," tegasnya.
Sementara itu, Redstar Capital Sdn Bhd dalam maklum balas segera selepas laporan ini disiarkan berkata pihaknya hanya melakukan kerja penyelenggaraan empangan.
“Kami tidak mempunyai sebarang operasi yang dirancang. Apa yang kami lakukan ialah penyelenggaraan empangan.
“Kami belum menghidupkan mesin kami. JMG (Jabatan Mineral dan Geosains) kata kita boleh jalankan kerja penyelenggaraan.
“Penduduk kampung tidak tahu apa (mengenai) operasi atau penyelenggaraan kami,” kata pengurus pentadbiran syarikat itu, Julice Chu kepada Malaysiakini hari ini.