Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih ramai tampil gesa polis bebaskan Fahmi Reza
Diterbitkan:  Dec 31, 2024 1:56 PM
Dikemaskini: 5:56 AM

Anggota parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa pembebasan segera aktivis Fahmi Reza, yang ditahan berhubung poster satira mengkritik pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.  

Lim berkata tindakan menahan Fahmi bertentangan dengan semangat reformasi yang dijanjikan kerajaan dan mencemarkan imej Kerajaan Madani.  

“Sebagai sebuah negara demokratik, kebebasan bersuara yang dijamin perlembagaan mesti dihormati dan dijadikan panduan utama dalam pelaksanaan undang-undang, kecuali terdapat pelanggaran jelas seperti melibatkan institusi Raja-Raja,” katanya dalam kenyataan hari ini.  

Fahmi, seorang pereka grafik, ditahan polis di Penampang, Sabah, semalam dan disiasat bawah Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia. 

Penahanan itu berkaitan poster yang didakwa memperlekehkan Musa, bekas ketua menteri Sabah, yang dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri menggantikan Juhar Mahiruddin, yang telah berkhidmat sejak 2011. 

Fahmi dan karya kontroversinya yang mengkritik Musa Aman

Pengkritik menyifatkan Musa sebagai tokoh politik dengan latar belakang yang dipertikaikan, termasuk pertuduhan rasuah yang digugurkan sebelum ini.  

Peguam Fahmi mempersoalkan tindakan polis dan mendakwa ia melanggar hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Sementara itu, Lim turut menyeru Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan ruang awam bagi kebebasan bersuara sentiasa dilindungi.  

“Sebarang tindakan yang menyekat kebebasan bersuara hanya akan mencemarkan imej kerajaan dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Madani,” katanya.  

Khianat pada reformasi, kata Muda

Sementara itu, Setiausaha Agung Muda, Amir Hadi, menyelar penggunaan Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia terhadap Fahmi, menyifatkan ia sebagai pengkhianatan terhadap janji reformasi.  

“Mereka yang dahulu berjanji memansuhkan akta ini kini terus menggunakannya untuk mendiamkan rakyat. 

“Yang perlu ditangkap adalah mereka yang terlibat dalam rasuah, bukan aktivis yang melukis satira,” kata Amir dalam kenyataannya.  

Amir Hadi (kanan)

Muda turut menggesa moratorium terhadap penggunaan kedua-dua akta tersebut dan mendesak pemansuhannya segera.  

“Negara ini tidak akan rosak kerana lukisan satira, tetapi kerana korupsi,” tambahnya.  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS