Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan agar tidak tergesa-gesa melaksanakan sistem pembayaran kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) untuk mengawal bil hospital swasta.
“Proses ini tidak sepatutnya dilakukan dengan tergesa-gesa dan semua pandangan harus dipertimbangkan.
“Akhirnya, semua langkah kawalan kos yang dipertimbangkan mesti selaras dengan matlamat kualiti dan aksesibiliti dalam penjagaan kesihatan,” katanya Presidennya Dr Kalwinder Singh Khaira pada kenyataan hari ini.
Pada 10 Disember, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan sistem pembayaran DRG untuk mengawal bil hospital swasta.
Katanya walaupun sistem DRG masih dalam pertimbangan, ia berpotensi membantu mengatasi isu kos perubatan yang menjadi antara punca kenaikan premium insurans perubatan.
"Melalui sistem DRG, kita akan dapat mengamalkan satu pendekatan yang memastikan bayaran di hospital swasta menjadi lebih terkawal.
“Dan dengan itu, kita dapat mengelakkan inflasi yang melampau dalam kos rawatan,” katanya.
Sebelum itu, Dzulkefly (gambar bawah) dilaporkan berkata negara akan beralih kepada kaedah bayaran berasaskan. sistem kumpulan berkaitan kes (CRG).
Naib Presiden MCA Lawrence Low pada 22 Disember menggesa kerajaan segera melaksanakan sistem DRG bagi menyeragamkan bayaran dan mengawal kos perubatan swasta yang menjadi antara punca kenaikan premium insurans kesihatan.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga boleh mempelajari daripada amalan antarabangsa seperti di Amerika Syarikat (AS) melalui Peraturan Ketelusan Harga Hospital yang memberi mandat kepada hospital untuk mendedahkan semua kos terlebih dahulu bagi memastikan ketelusan dan menangani beban kewangan yang berlebihan daripada ditanggung pengguna.
Selain itu, Low berkata KKM juga harus menggalakkan rundingan harga antara institusi penjagaan kesihatan dan penanggung insurans.
‘Amaun tetap’
Untuk konteks, sistem pembayaran DRG melibatkan pembayaran amaun tetap berdasarkan kerumitan sesuatu kes, bukan dengan memperincikan setiap caj.
Ini bermakna hospital menerima jumlah yang telah ditetapkan untuk rawatan pesakit dan mesti menguruskan sumber dalam bajet tersebut. Model pembayaran tetap ini dapat membantu mengawal kos perubatan dengan mengehadkan caj berlebihan sambil mengekalkan kualiti penjagaan.
Bagi CRG pula, kaedah pembayaran dalam pembiayaan penjagaan kesihatan mengklasifikasikan pesakit berdasarkan jenis dan kerumitan kes perubatan yang mereka hadapi.
Di bawah sistem ini, pembayaran kepada penyedia penjagaan kesihatan dibuat berdasarkan jenis kes perubatan, bukan pada prosedur atau perkhidmatan individu yang disediakan. Sistem ini bertujuan untuk menyeragamkan pembayaran dan meningkatkan kecekapan dalam penyampaian penjagaan kesihatan.
Walaupun mengakui keperluan mendesak untuk menangani kos penjagaan kesihatan yang meningkat dan menyokong usaha untuk mewujudkan sistem kawalan kos yang berkesan, Kalwinder berkata sistem DRG mesti dikaji dalam skop ekosistem penjagaan kesihatan Malaysia.
Sebagai contoh, katanya di Malaysia, selain Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pertahanan, dan sektor swasta juga menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
“Setiap satunya memainkan peranan unik dalam penyampaian penjagaan dengan tahap sumber dan keupayaan yang berbeza.
“Kerangka DRG yang seragam mesti mempertimbangkan variasi ini untuk memastikan kedua-dua sektor awam dan swasta disokong dengan secukupnya tanpa menjejaskan hasil pesakit,” katanya.
Kalwinder juga menegaskan kemudahan penjagaan kesihatan swasta berbeza secara meluas dari segi sumber dan keupayaan, yang bermaksud sistem DRG seragam mungkin bukan penyelesaian terbaik.
“Selain itu, sistem DRG mesti merangkumi peruntukan untuk menguruskan komplikasi yang tidak dijangka dan rawatan pesakit dengan keadaan asas, yang sering memerlukan sumber tambahan,” tambahnya.
Semakan yuran
Kalwinder turut menyebut jadual yuran semasa untuk profesional penjagaan kesihatan di bawah Jadual Yuran ke-13 kali terakhir disemak pada 2013 dan akan menjadi cabaran besar dalam menetapkan kadar untuk pelaksanaan DRG.
“Skim semasa tidak mengambil kira banyak prosedur moden yang diperkenalkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Tanpa pelarasan dan penambahan kepada jadual ini, pelaksanaan DRG mungkin menghadapi cabaran.
“Dan inilah sebabnya mengapa kita memerlukan penglibatan pihak berkepentingan untuk memastikan penjagaan pesakit yang tidak terganggu dan sistem yang adil dan mampan.”