Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Keikhlasan Umno akan diragui jika teruskan demo bersama PAS’
Diterbitkan:  Dec 31, 2024 1:12 PM
Dikemaskini: 5:15 AM

Pengerusi DAP Lim Guan Eng memberi amaran bahawa kerjasama antara Umno dan PAS dalam perhimpunan solidariti untuk bekas perdana menteri Najib Razak boleh menimbulkan keraguan terhadap kedudukan Umno dalam kerajaan.  

Lim berkata, tindakan itu bukan sahaja memberi kesan kepada kestabilan politik, malah turut menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keikhlasan Umno dalam membentuk kerajaan pada 2022 atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.  

“Sebagai ahli kerajaan perpaduan, tindakan sedemikian secara terbuka berniat mencabar malah menggugat kestabilan politik kerajaan perpaduan dan kedudukan perdana menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.  

Najib Razak

Umno dan PAS sebelum ini bersetuju mengadakan perhimpunan setiakawan untuk Najib pada 6 Januari di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. 

Perhimpunan itu berlangsung serentak dengan pendengaran mengenai titah tambahan diraja yang berkemungkinan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.  

Perhimpunan setiakawan Umno-PAS ini juga mencatat sejarah sebagai kerjasama pertama antara kedua-dua parti sejak Muafakat Nasional berakhir pada 2022.

Sementara itu, Lim turut menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi isu ini demi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.  

Dalam kenyataan hari ini, Lim turut menempelak “serangan peribadi: oleh Ketua Pemuda Umno, Muhammad Akmal Saleh, terhadap Anwar berhubung proses pengampunan penuh yang diberikan oleh Agong kepada Anwar pada 16 Mei 2018.  

“Pertikaian tentang keabsahan pengampunan penuh perdana menteri sekali gus mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong serta juga keabsahan Datuk Seri Anwar sebagai ahli parlimen dan perdana menteri,” tambah Guan Eng.  

Tindakan Umno dan PAS itu, katanya, mencerminkan ketidakseriusan Umno sebagai anggota kerajaan perpaduan, apatah lagi selepas serangan terhadap keabsahan perdana menteri yang turut melibatkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.  

Akmal sebelum ini dilaporkan mempertikaikan prosedur pengampunan Anwar dengan mendakwa ia tidak melalui proses penuh jawatankuasa pengampunan. 

Namun, kenyataan tersebut mencetuskan kritikan balas, termasuk daripada peguam, yang menyifatkannya sebagai mencabar autoriti diraja dan perlembagaan.  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS