Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam penangkapan aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza di Penampang, Sabah, berhubung karikatur Gabenor Sabah Musa Aman.
Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi (gambar bawah) yang mengetuai biro undang-undang AMK berkata penangkapan itu tidak selari dengan nilai-nilai yang dipegang oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dia mengingatkan Anwar sendiri pernah berkata dia tidak setuju Fahmi patut ditangkap atau didakwa kerana karikatur yang mengkritik kerajaan.
"Walaupun ada pihak yang tidak bersetuju dengan mesej yang dibawa oleh saudara Fahmi Reza melalui karya satiranya, namun AMK Malaysia berpendirian bahawa kritikan melalui karya seni seperti satira tidak boleh dianggap sebagai satu jenayah.
"Kebebasan bersuara dan berekspresi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan hendaklah sentiasa dilindungi selagi mana ia tidak menyebabkan sebarang ketidaktenteraman awam.
"Justeru, AMK Malaysia mendesak supaya saudara Fahmi Reza dibebaskan dengan kadar segera.
"AMK Malaysia juga sedia memberikan bantuan guaman untuk membantu saudara Fahmi Reza," kata Asheeq pada satu kenyataan hari ini.
Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun mengesahkan Fahmi ditangkap selepas disoal siasat berhubung karikatur Musa Aman yang ditampal di dinding di Asia City, Kota Kinabalu.
Karikatur Fahmi menggambarkan Musa memakai pakaian rasmi sebagai gabenor Sabah, sambil imej wang kertas RM100 di mulutnya.
Versi awal karikatur ini juga memaparkan tulisan "Perasuah Nombor Satu Sabah" dalam bahasa Melayu.
Musa dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 17 Disember dan akan memulakan tugasnya mulai 1 Januari 2025. Sebelum ini, dia menghadapi 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram tetapi akhirnya dibebaskan.