Ulama PAS mendesak pihak berkuasa agama untuk mengambil tindakan terhadap DAP dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Ahmad Yahaya berkata DAP dan Nga melanggar batas-batas Islam dengan terus mempertahankan majlis Krismas yang dianjurkan oleh kementeriannya.
"DUPP juga menuntut Menteri Agama (Mohd Naim Mokhtar) dan agensi utamanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak sekadar menjadi pemerhati dalam isu ini.
"Apa yang berlaku ketika ini jelas pencerobohan terhadap agama Islam.
"Mengapa mereka mengambil sikap membisu apabila isu sebegini berlaku, sebaliknya bersuara dengan lantang ketika isu GISB mahupun lain-lain timbul," tegas Ahmad pada satu kenyataan.
Pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) atas dakwaan ajaran sesat termasuk amalan kumpulan Al-Arqam yang diharamkan.
Pada malam Krismas, Nga memuat naik video pendek mengenai sambutan yang diadakan di kementeriannya, termasuk penyanyi koir menyanyikan lagu "Jingle Bells" dan "We Wish You a Merry Christmas".
Berdasarkan video tersebut, terdapat kakitangan Muslim yang turut hadir dalam sambutan itu.
Pemuda PAS kemudian membangkitkan isu itu dan menuduh Nga tidak mematuhi garis panduan Majlis Fatwa Kebangsaan 2005 yang menetapkan batasan kehadiran Muslim dalam perayaan agama bukan Islam.
Garis panduan tersebut, antara lain, menyatakan orang Islam tidak dibenarkan menghadiri acara yang mempunyai hiasan keagamaan seperti pokok Krismas.
(Rujuk garis panduan rasmi pada pautan di sini).
Nga kemudian menyifatkan PAS sebagai golongan pelampau dan fanatik.
Pun begitu, Ahmad (gambar atas) berkata sikap berdegil Nga menunjukkan rasa tidak hormat terhadap Islam dan garis panduan Majlis Fatwa Kebangsaan.
"Mengapa Nga dan beberapa pemimpin DAP seolah-olah mahu mencabar legitimasi agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?
"DUPP sangsi dengan sikap agresif pemimpin DAP dalam konteks sambutan Krismas ini meskipun telahpun ditegur saban tahun.
"Ia menggambarkan seolah-olah dakwaan perancangan di sebalik tabir kumpulan Evangelikal terhadap Malaysia ini suatu yang sedang membentuk realiti," dakwanya tanpa memperincikan keterangan mengenai kumpulan yang disebutnya itu.