Abdul Hadi Awang hari ini menganggap ketiadaan Anwar Ibrahim di Sidang Kemuncak D-8 di Kaherah sebagai bukti konsep madani yang dibawa perdana menteri dan kerajaan tidak tulen.
Kata Abdul Hadi sebelum ini Dr Mahathir Mohamad - sewaktu dia menjadi perdana menteri - pernah cuba menyambung gagasan kumpulan D-8 dengan menganjurkan sidang kemuncak di Kuala Lumpur.
Malangnya tambah Presiden PAS itu lagi hanya empat negara yang terlibat apabila Putrajaya menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur pada 19 hingga 21 Dis 2019.
"Ketidakhadiran Perdana Menteri Malaysia kini yang membawa slogan Madani menunjukkan perjuangannya bukan Madani Islam yang sebenar bersempena bandar Madinah yang dinamakan oleh Rasulullah SAW.
"Akan tetapi, perjuangannya bergantung kepada Madani jahiliah seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan BlackRock," tulis Abdul Hadi.
D-8 merujuk kepada kerjasama ekonomi dalam kalangan negara membangun melibatkan Bangladesh, Mesir, Iran, Indonesia, Malaysia, Nigeria, Pakistan, dan Turki.
Diasaskan pada 1996, gabungan dalam D-8 melibatkan 1.27 bilion rakyat - atau kira-kira 63 peratus warga Muslim di seluruh dunia.
Sidang Kemuncak D-8 kali ini diadakan di Kaherah, Mesir. Malaysia turut menghantar delegasinya yang diketuai Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir.
Dalam persidangan itu negara anggota menyatakan sokongan mereka untuk membuka keanggotaan kepada negara lain. Mereka juga sebulat suara menyokong agar Azerbaijan diterima menjadi negara kesembilan untuk kerjasama berkenaan.
Indonesia pula diumum menjadi tuan rumah untuk Sidang Kemuncak D-8 pada tahun depan.
Kata Abdul Hadi tanpa penglibatan Anwar di Kaherah, ia membuktikan negara ini masih di bawah kuasa pihak lain melalui "wakil penjajah" dan ia perlu dimerdekakan sepenuhnya.
"Keadaan ini menunjukkan bahawa perjuangan kemerdekaan kita belum selesai kerana masih berada di bawah wakil penjajah yang dinamakan Pakatan Harapan (PH) yang masih berkiblatkan White House dan mengucup BlackRock," katanya.
Bekas duta khas bertaraf menteri itu juga mendakwa kerajaan kini menunjukkan kesetiaan kepada musuh Islam.
Abdul Hadi menyandarkan hujah tersebut dengan merujuk kepada kenyataan didakwanya sebagai bersifat anti-Islam yang dibuat oleh DAP serta rakan "berwajah Melayu" parti itu seperti PKR, Umno dan Amanah.
Parti-parti tersebut, dakwa Abdul Hadi, menjadi pembela DAP dengan bersuara bagi pihak parti berkenaan.