Pada 26 Disember, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Hanif Jamaluddin, membantah persembahan lagu Krismas yang didakwa melibatkan orang Islam pada suatu majlis Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya.
Menteri Nga Kor Ming membalas kenyataan Hanif, menjelaskan kementeriannya menegakkan nilai perpaduan dalam kepelbagaian sebagai teras kekuatan negara.
Namun, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan (gambar bawah) menuduh Nga membuat kenyataan "melampau" dan "emosional" serta mengancam tindakan undang-undang terhadap menteri tersebut.
PAS berhujah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming tidak mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2005 mengenai kehadiran umat Islam pada sambutan perayaan agama bukan Islam.
Menurut dokumen tersebut, terdapat empat kriteria utama untuk menentukan sama ada umat Islam boleh menghadiri perayaan tersebut atau tidak.
Rujuk garis panduan rasmi pada pautan di sini.
Kriteria 1: Tiada upacara bercanggah akidah Islam.
Dokumen itu mentakrifkan “bertentangan dengan akidah Islam” sebagai sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.
Salah satu contoh yang disebut, majlis tidak sepatutnya terdapat simbol agama seperti salib, "lilin", atau pokok Krismas.
Ia juga menyebut tidak boleh ada nyanyian lagu-lagu keagamaan atau ucapan yang memuji agama bukan Islam.
Contoh inilah yang dirujuk oleh Pemuda PAS sebagai alasan tindakan menyanyikan lagu Krismas di hadapan hadirin termasuk umat Islam telah melanggar garis panduan tersebut.
Namun, dokumen garis panduan di laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak jelas sama ada umat Islam dilarang menyertai nyanyian tersebut atau memberi ucapan memuji agama lain, atau jika ia hanya tidak boleh dilakukan di hadapan umat Islam.
Kriteria 2: Tiada tindakan yang bertentangan syarak
Dokumen ini mentakrifkan “bertentangan dengan syarak” bermaksud sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.
Contoh yang diberikan termasuk memakai pakaian merah seperti Santa Claus atau pakaian agama lain, menyediakan makanan atau minuman yang memabukkan dan hiasan loceng gereja, pokok Krismas, atau memecahkan kelapa.
Contoh lain termasuk acara yang mempunyai unsur perjudian dan penyembahan.
Dokumen ini tidak jelas sama ada larangan berpakaian hanya terpakai kepada umat Islam atau jika umat Islam tidak boleh menghadiri acara dengan pemakaian pakaian tersebut.
Kriteria 3: Acara tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.
Contoh yang disebut termasuk pergaulan bebas tanpa batas, pakaian yang tidak sopan, muzik dengan lirik penyembahan atau lirik yang tidak senonoh, serta program seperti pertandingan ratu cantik atau sabung ayam.
Kriteria 4: Acara dilarang “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”
Bermaksud sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.
Contoh yang diberikan termasuk ucapan atau lagu yang mempromosikan agama bukan Islam, ucapan yang menghina umat Islam dan Islam, atau persembahan yang bertujuan menghina Islam.