Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pensyarah 'hantar gambar bogel' masuki kampus, kata pelajar

Seorang pelajar Universiti Malaya (UM) menyatakan kebimbangannya apabila pensyarah yang didakwa melakukan gangguan seksual di institusi pengajian tinggi (IPT) itu masih hadir di kampus di sebalik penggantungan oleh pihak pentadbiran.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai “Pelajar A” mendakwa pensyarah terbabit menghantar bahan eksplisit kepadanya, termasuk gambar dan video bogel, melalui WhatsApp.

“Dia masih muncul di kampus menyebabkan saya meragui keberkesanan penggantungannya.

"Adakah ini cara universiti untuk menutup isu ini?” soalnya.

Tuduhan terhadap ahli akademik itu didedahkan pada 16 Dis lalu apabila Kelab Feminist UM (UMFC) mendakwa IPT berkenaan gagal mengambil tindakan yang sewajarnya walaupun banyak laporan telah dibuat.

Menteri Pengajian Tinggi, Zambry Abdul Kadir kemudiannya mengarahkan UM untuk menyiasat perkara tersebut. Ekoran arahan itu IPT berkenaan mengumumkan pensyarah terbabit telah digantung tugas.

Apabila ditanya sama ada Pelajar A ada menghubungi UMFC untuk mengadukan kehadiran pensyarah berkenaan di kampus UM, dia enggan mendedahkan butiran lanjut.

“Sama ada saya sudah menghubungi UMFC atau tidak, ia tidak akan mengubah fakta situasi ini,” katanya.

Terdahulu dia mendakwa pensyarah berkenaan menghantar kandungan yang tidak senonih kepadanya beberapa kali, termasuk klip video memaparkan anggota sulit.

Pelajar A juga memberikan Malaysiakini tiga video dan lima gambar sebagai bukti.

Katanya ada sebuah video yang dihantar melalui WhatsApp ditetapkan untuk boleh tontonan sekali sahaja, tetapi nombor telefon pengirim jelas kelihatan pada awal klip berkenaan.

"Saya menyimpannya sebagai bukti kerana ini bukan kali pertama dia berkelakuan sebegitu,” katanya.

Walaupun tindakan disiplin telah diambil oleh UM mengikut Akta Badan Berkanun (Disiplin dan Denda) 2000, Pelajar A berkata, pensyarah terbabit masih dilihat di kampus.

Walaupun mempunyai bukti, Pelajar A juga berkata, dia belum membuat laporan polis kerana bimbang terhadap kesan negatif yang mungkin timbul dan apa yang akan berlaku ke atasnya.

“Saya terlalu kecewa untuk berdepan dengan perhatian umum atau berhadapan dengan akibat yang mungkin berlaku.

"Kesihatan mental saya rapuh, dan sebagai pelajar yang tidak berdaya, saya takut terhadap tindak balas daripada pensyarah dan rakan-rakan dia,” katanya.

Pelajar A juga mendakwa, dia pernah diberitahu dan diberii amaran oleh seorang senior mengenai tingkah laku pensyarah berkenaan dan ada beberapa pelajar lain terkesan dengannya.

Namun, dakwa Pelajar A, kes tersebut diabaikan apabila individu tersebut selesai menamatkan pengajian di UM.

Pelajar A turut mendakwa bahawa, jauh daripada mengamalkan integriti, akademik tersebut telah mewujudkan persekitaran yang toksik dan tidak mesra untuk pelajar wanita.

“Ini bukan sekadar perjuangan saya. Ini adalah perjuangan untuk memastikan tiada pelajar lain yang perlu menanggung penyalahgunaan seperti ini.

“Malangnya, saya yakin universiti tidak akan bertindak adil dalam perkara ini memandangkan sejarah mereka yang tidak bertindak,” keluhnya.

Malaysiakini sudah menghubungi pensyarah tersebut dan UM untuk mendapatkan maklum balas.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS