Dalam tempoh kurang 24 jam, bukan saja kalendar yang akan berubah, tetapi Malaysia juga bakal menyaksikan pelaksanaan beberapa perkembangan penting yang memberi kesan langsung atau tidak langsung kepada kehidupan.
Selain perubahan dalam geopolitik, ekonomi, sosial, dan hubungan antarabangsa, beberapa dasar dan peraturan baru akan berkuat kuasa mulai tengah malam ini.
Pastikan anda tahu apa yang akan berlaku bagi mengelakkan terlepas maklumat penting.
Antaranya, esok Malaysia secara rasmi akan mengambil alih jawatan Pengerusi Asean setelah Laos menyerahkan tanggungjawab berkenaan semasa sidang kemuncak badan itu kali ke-44 dan ke-45 di Vientiane pada 11 Okt lalu.
Melalui tema Keterangkuman dan Kemampanan, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat dan sidang kemuncak Asean sepanjang tahun.
Antaranya Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi Asean di Johor pada Feb, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean dan Persidangan Pascamenteri (Julai), serta Sidang Kemuncak Asean ke-47 pada Okt.
Malaysia pernah menjadi Pengerusi Asean pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Beberapa undang-undang baru juga akan berkuat kuasa mulai esok termasuk penguatkuasaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Penyedia (CASP) yang mewajibkan platform media sosial mendaftar lesen dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Keperluan itu - melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna khususnya kanak-kanak dan golongan rentan, serta memperkukuh kawal selia terhadap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.
Inisiatif subsidi tiket penerbangan
Bermula esok juga, premis dobi dan bangunan tempat kerja tersenarai dalam kawasan larangan merokok susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 pada 1 Okt lepas.
Ia menjadikan 28 kawasan diwartakan sebagai tempat larangan merokok termasuk hospital, klinik, lif atau tandas awam, tempat makan, kedai berpenyaman udara, lapangan terbang, premis kerajaan, institusi pendidikan, kawasan taman asuhan kanak-kanak, kompleks beli-belah, stesen minyak, perpustakaan, stadium dan banyak lagi.
Individu yang didapati bersalah merokok atau menggunakan produk merokok di kawasan larangan itu akan dikenakan denda maksimum M5,000.
Selain itu, penjaja dan peniaga berlesen wajib membuat caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bermula esok bagi menyediakan sokongan kewangan sekiranya berlaku bencana kerja.
Langkah mandatori itu dilaksanakan menerusi Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman Bagi Penjaja Atau Peniaga) 2024 yang diwartakan pada 30 Ogos melalui PU (A) 229 dan berkuat kuasa pada 1 Sept lalu.
Dari segi pengangkutan, kadar inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan FLYsiswa dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 dan dijangka memanfaatkan kira-kira 60,000 mahasiswa yang menggunakan penerbangan bagi laluan domestik.
Mahasiswa boleh membuat semakan bermula esok melalui https://subsidiudara.mot.gov.my/.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pula akan melaksanakan bayaran tanpa tunai sepenuhnya bagi pembelian tiket di sektor Lembah Klang, Utara dan Selatan serta Pantai Timur, untuk menyokong inisiatif ekonomi digital negara.
Bermula 1 Jan juga semua taman asuhan kanak-kanak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat diwajibkan untuk memaparkan plak nombor pendaftaran di premis masing-masing bagi memberi keyakinan kepada ibu bapa terhadap status mereka.
Kriteria baru pengecualian audit penyata kewangan untuk syarikat persendirian juga akan berkuat kuasa esok, selaras dengan komitmen Suruhanjaya Syarikat Malaysia meningkatkan kualiti pengauditan dan mengurangkan beban pematuhan yang dihadapi oleh syarikat persendirian.
Selain itu, bermula 1 Jan 2025 Johor akan kembali melaksanakan cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad susulan titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail pada 7 Okt lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
Ia menjadikan negeri yang melaksanakan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu hanyalah Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Sabah pula bakal menyaksikan bekas Ketua Menteri Musa Aman memulakan tugas sebagai Yang di-Pertua Negeri Ke-11 menggantikan Juhar Mahiruddin yang tamat tempoh perkhidmatannya pada hari ini selepas memegang jawatan berkenaan sejak 2011.
Sultan Ibrahim berkenan menyerahkan surat cara pelantikan kepada Musa, 73, yang juga bekas Adun Sungai Sibuga pada 17 Dis lalu. Dia turut dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun.
- Bernama