Seorang ahli Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) tampil memberi penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan seorang penduduk, berhubung sebuah projek yang disangkakan untuk membina rumah ibadat agama Buddha.
Dalam surat kepada Setiausaha Kerajaan Selangor Haris Kasim yang dilihat Malaysiakini, seorang penduduk Kuala Langat mempersoalkan projek tersebut yang dibina di belakang rumahnya.
Dia juga mendakwa ahli MPKL Ang Eu Liang menyalahgunakan kedudukannya bagi membantu projek itu diluluskan, dan dia tiada kelayakan akademik untuk menjadi ahli MPKL.
Justeru, dia berharap MPKL dan kerajaan negeri dapat menyiasat perkara itu.
Semalam, Ang menjelaskan projek tersebut bukan untuk membina rumah ibadat, tetapi sebuah pusat dialisis.
“Projek itu bukan untuk membina tokong tetapi pusat dialisis yang masih dalam permohonan untuk diluluskan Kementerian Kesihatan.
“Pusat dialisis itu mendapat dana daripada penduduk dan untuk menolong penduduk berhampiran. Ia diuruskan oleh persatuan kebajikan di Jenjarom (di Kuala Langat),” kata Ahli Majlis Perbandaran Kuala Langat Ang Eu Liang kepada Malaysiakini.
Ang juga mendakwa projek itu dimulakan sebelum dia dilantik menjadi ahli MPKL.
Menurut papan tanda (gambar utama), projek itu bagi membina sebuah unit rumah dua tingkat dan merupakan milik Persatuan Penganut Agama Buddha Chong Yuan Jenjarom.
Berhubung kelayakan akademik Ang, penduduk itu mendakwa dia hanya memiliki Sijil Am Pelajaran (SAP), justeru tiada kelayakan minimum untuk memegang jawatan kerajaan kerana tiada kelulusan SPM.
Ang menafikan dakwaan itu dengan menyatakan dia memiliki kelulusan peringkat diploma dalam bidang perakauanan dari Segi University College.
Dia berkata sijil itu mendapat pengesahan daripada Universiti Abertay Scotland.