Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Tak tolak’ - Polis kata penganjur himpunan antirasuah perlu penuhi syarat

Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun menafikan dakwaan dia menolak hak Sekretariat Himpunan Gempur Rasuah Sabah untuk berhimpun pada malam tahun baru ini.

Jauteh sebaliknya menjelaskan polis telah meminta penganjur memenuhi syarat yang digariskan dalam Seksyen 10 Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Sebenarnya kita tidak tolak (himpunan), tapi kita meminta mereka melengkapkan syarat sebagaimana dinyatakan Seksyen 10 Akta Perhimpunan Aman 2012 dan sehingga kini mereka tidak memenuhinya,” kata Jauteh kepada Malaysiakini.

Terdahulu, penganjur himpunan itu berkata acara tersebut akan tetap diteruskan seperti yang dirancang walaupun terdapat laporan menyatakan polis menolaknya.

Ia susulan laporan media yang memetik kenyataan Jauteh, yang membangkitkan kebimbangan terhadap ketenteraman awam sebagai asas menolak himpunan itu.

Himpunan antirasuah tersebut, yang dianjurkan oleh kumpulan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah UMS, dijadual diadakan pada malam tahun baru di luar Bangunan Pentadbiran Negeri Sabah.

Ia untuk memberi peringatan kepada ahli politik agar tidak mengabaikan rakyat, terutama menjelang pilihan raya negeri tahun depan.

Apabila ditanya sama ada himpunan itu akan dibenarkan jika penganjur memenuhi syarat yang dinyatakan, Jauteh menjawab, “tiada masalah.”

Seksyen 10 Akta Perhimpunan Aman menyenaraikan maklumat yang perlu diserahkan semasa memaklumkan polis berhubung himpunan yang ingin diadakan, antaranya tujuan, tarikh, masa, lokasi, nama individu yang bertanggungjawab, serta maklumat mengenai peralatan pembesar suara yang akan digunakan.

Jika perlu, penganjur juga harus menyediakan surat kebenaran daripada pemilik lokasi serta dokumen tambahan yang diminta oleh polis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS