Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini memberikan penghormatan kepada bekas Presiden AS Jimmy Carter yang meninggal dunia pada usia 100 tahun, semalam.
“Saya menyertai rakan-rakan pemimpin bersedih atas kehilangan bekas Presiden AS Jimmy Carter dan meraikan perkhidmatannya yang luar biasa terhadap kemanusiaan dan negaranya.
“Pada pandangan saya, apa yang paling menyerlah ialah mengenai kesediaannya menentang pemikiran konvensional elitis politik Amerika mengenai perkara yang paling penting dalam peperangan dan keamanan, sama ada ia mengenai dialog dengan Cuba, memperjuangkan penghapusan senjata nuklear di Semenanjung Korea, atau mengecam pencerobohan Iraq pada 2003,” kata Anwar dalam kenyataan di Facebook.
Anwar berkata dia juga percaya tiada siapa yang akan menidakkan keberanian presiden Amerika Syarikat ke-39 itu, yang meletakkan prinsip lebih daripada politik dalam isu Palestin.
Dia berkata Carter dengan dedikasinya melawan pandangan politik Amerika dengan melabelkan perbuatan Israel di Palestin sebagai apartheid, lama sebelum yang lain menyuarakannya.
“Dia menahan kritikan daripada lobi pro-Israel dengan dedikasinya memperjuangkan penyelesaian dua negara. Hingga ke akhirnya, dia tetap teguh, tidak menyerah kalah, demi keamanan dan keadilan.
“Masyarakat Amerika sering menyatakan bahawa mereka tidak menghasilkannya seperti sebelum ini’. Perkara ini tepat sekali jika bercakap mengenai Carter,” kata Anwar.
-Bernama