Himpunan Gempur Rasuah Sabah akan diteruskan seperti dirancang walaupun dilarang polis.
Sekretariat himpunan itu mengkritik Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun, mendakwa dia kurang pemahaman terhadap Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 10 yang menjamin kebebasan dan hak rakyat untuk berhimpun.
“Pesanan Ketua Polis Negara Razarudin Hussain pada 4 Mac 2024 iaitu ‘perhimpunan aman tidak perlu permit, mungkin polis tersilap cakap’.
“Kami menasihati pesuruhjaya polis Sabah untuk melakukan semakan fakta terlebih dulu dan berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan kepada media,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu hari ini, Bernama melaporkan Jauteh menolak himpunan itu atas dasar kebimbangan terhadap ketenteraman awam.
Jauteh menjelaskan lokasi uhimpunan itu sudah digunakan untuk program Karnival Ria anjuran kerajaan dan menyatakan himpunan antirasuah tersebut belum mendapat kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.
Pada 4 Mac lalu, New Straits Times memetik Razarudin yang berkata permit tidak lagi diperlukan untuk menganjurkan perhimpunan aman. Dia juga menjelaskan ada pegawai yang mungkin tersilap menggunakan istilah ‘permit’ untuk ‘notis.’
Sementara itu, Sekretariat Gempur Rasuah Sabah turut menyifatkan kenyataan Jauteh sebagai tidak berperlembagaan.
“Pihak sekretariat akan membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pesuruhjaya polis Sabah kerana telah menimbulkan kekeliruan kepada awam,” katanya.
Pada 20 Disember lalu, Suara Mahasiswa UMS mengumumkan rancangan untuk mengadakan himpunan antirasuah pada malam tahun baru di luar Bangunan Pentadbiran Negeri Sabah, sebagai peringatan kepada ahli politik agar tidak mengabaikan rakyat, terutama menjelang pilihan raya negeri tahun depan.
Kumpulan itu menjangkakan kira-kira 10,000 orang akan menyertai perhimpunan tersebut.
Merumitkan lagi keadaan, sebuah lagi kumpulan, Sekretariat Himpunan Bangkit Sabahan dilaporkan merancang untuk mengadakan perhimpunan balas pada masa dan lokasi yang sama.
Sementara itu, Warisan melarang ahlinya untuk menyertai himpunan itu atas kapasiti sebagai ahli parti atau menggunakan logo parti.
“Warisan konsisten malah komited menentang rasuah,” kata Ketua Penerangan Warisan Mohd Aziz Jamman, dalam kenyataan berhubung larangan tersebut.
Sekretariat Himpunan Gempur Rasuah Sabah juga melarang sebarang pemaparan logo parti politik atau bahan-bahan lain yang mempromosikan parti politik ketika himpunan itu nanti.