Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) mengkritik Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung rancangannya untuk menaikkan kadar tarif elektrik pada pertengahan tahun depan.
MRA menegaskan TNB mencatat keuntungan bersih yang besar, iaitu melebihi RM1 bilion pada suku kedua dan ketiga tahun ini.
“Dengan prestasi kewangan sebegitu, alasan untuk membebankan perniagaan dan pengguna dengan kenaikan tarif menjadi tidak rasional.
“Kami menggesa TNB untuk melabur semula sebahagian daripada keuntungan besar mereka bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan, bukannya melepaskannya kepada orang awam dan pengguna,” kata presidennya Andrew Lim dalam kenyataan hari ini.
Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia pada 26 Disember, TNB berkata pihaknya bercadang menaikkan kadar tarif asas baru untuk Semenanjung Malaysia, daripada 39.95 sen per kilowatt-jam (kWh) kepada 45.62 sen/kWj mulai 1 Julai 2025.
Namun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan dia tidak akan membenarkan kenaikan tarif tersebut dan telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air, mengenai perkara itu.
Susulan itu, Fadillah berkata tiada keputusan dibuat berhubung kenaikan tersebut.
Dia juga sekali lagi menyatakan kementeriannya bersama Suruhanjaya Tenaga masih dalam proses memuktamadkan jadual tarif elektrik baru.
"Dalam hal ini, sebarang pengumuman berhubung penetapan tarif elektrik di Semenanjung akan dikeluarkan oleh kerajaan," katanya.
Kos tambahan
Mengulas lanjut, Lim berkata perniagaan sudah pun berdepan dengan peningkatan kos yang ketara pada tahun depan.
Dia berkata peruncit perlu membayar gaji minimum yang lebih tinggi iaitu RM1,700 mulai 1 Februari 2025, selain caruman wajib kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja bukan warganegara.
“Kami juga menghadapi kenaikan cukai perkhidmatan dari enam peratus kepada lapan peratus…
“Terdapat juga kesan daripada pindaan Akta Kerja, termasuk kelayakan untuk kerja lebih masa yang diperluas, cuti bersalin yang ditambah dan pengurangan waktu kerja mingguan.
“Kami juga perlu berdepan dengan ketidaktentuan global seperti ketegangan geopolitik, yang terus memberi kesan kepada kestabilan ekonomi dan daya tahan perniagaan di Malaysia” katanya lagi.
Kenaikan inflasi
Dengan cabaran sebegini dan ditambah dengan kenaikan tarif elektrik, Lim berkata ia akan menyebabkan peningkatan kos operasi untuk perniagaan, yang akhirnya akan ditanggung pengguna.
“Industri peruncitan bimbang ini akan memburukkan inflasi, mengurangkan perbelanjaan pengguna dan mengancam daya saing serta pemulihan ekonomi Malaysia,” katanya.
Justeru, Lim menggesa kerajaan agar mempertimbang semula cadangan kenaikan tarif elektrik dengan mengambil kira implikasi ekonomi yang mungkin disebabkannya kepada negara.
“Adakan dialog dengan semua pihak berkepentingan untuk menangani kebimbangan semua dan meneroka penyelesaian alternatif,” katanya lagi.