Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banduan mati di penjara sebelum perbicaraan, keluarga tuntut keadilan

Seorang banduan Penjara Pengkalan Chepa di Kelantan meninggal dunia di hospital, didakwa dalam keadaan mencurigakan sebelum tarikh perbicaraan mahkamahnya.

Keluarganya kini dalam usaha untuk menuntut keadilan atas apa yang berlaku.

Allahyarham Mohamad Rahiefi Mohamad Nor, 32 tahun, telah dipindahkan dari balai polis Pasir Puteh ke Penjara Pengkalan Chepa pada 18 November.

Menurut kakaknya Zealeha Mohamed Nor, keluarga melawat Rahiefi pada 7 Disember lalu dan mendapati Allahyarham ada kesan lebam, hampir tidak mampu bercakap dan berada dalam keadaan separuh sedar.

“Apabila kami bertanya, seorang rakannya mendakwa abang saya telah mencederakan dirinya sendiri. Namun, Rahiefi tiada sejarah penyakit mental atau kecenderungan mencederakan diri. Keadaannya sangat membimbangkan,” katanya kepada Malaysiakini.

Keluarga tersebut telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

‘Lebam di badan’

Menurut laporan, pada 11 Disember keluarga dihubungi pihak penjara yang memaklumkan Rahiefi tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Setibanya di hospital, mereka dimaklumkan Rahiefi mengalami kecederaan serius - termasuk trauma di kepala, lebam, gigi patah serta tanda-tanda seperti kesan terbakar dan sebatan.

Walaupun dengan usaha merawatnya, Rahiefi meninggal dunia akibat kecederaan tersebut dan keluarga mendakwa berlaku unsur khianat.

Menurut Zealeha, abangnya seharusnya dilindungi semasa berada dalam tahanan sementara menunggu tarikh perbicaraan.

“Kami tidak faham bagaimana seorang yang berada dalam tahanan pihak berkuasa boleh mengalami kecederaan sedemikian. Kami mahukan jawapan dan menuntut keadilan untuk abang saya,” katanya.

Ketika dihubungi, seorang jurucakap Jabatan Penjara yang enggan dinamakan berkata kes itu kini sedang disiasat polis.

Malaysiakini telah menghubungi polis Kelantan untuk mendapatkan maklum balas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS